Najib telah dapat keadilan, salah beliau sendiri prosiding rayuan tidak didengar
Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebenarnya menjadi penyebab prosiding rayuan beliau bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tidak didengar oleh panel hakim terdahulu.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan penghakiman majoriti 4-1 telah menolak permohonan bekas Perdana Menteri untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
“Tiada penafian hak pemohon (Najib) dan tiada pelanggaran keadilan dalam kes itu,” katanya lapor Bernama.
Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.
Dalam penghakimannya, Vernon berkata peguam Najib sendiri yang enggan membuat penghujahan lisan sejak permulaan prosiding rayuan tahun lepas.
Sedangkan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim sebelum ini yang menolak rayuan itu.
Mengenai penangguhan rayuan Najib yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, Vernon berkata mahkamah mempunyai budi bicara mutlak untuk membenarkan atau tidak sebarang penangguhan dan panel terdahulu telah menggunakan budi bicara mereka secara bijaksana.
“Oleh itu, tiada merit untuk semakan keputusan itu,” kata hakim.
Mengenai permohonan semakan terhadap pelepasan Hisham daripada mewakilinya semasa rayuan tersebut, hakim itu berkata pendapat pemohon bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan pelepasan peguam itu tidak boleh dipertahankan.
Ini kerana katanya kuasa itu ada diperuntukkan dalam Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Berkaitan permohonan Najib untuk semakan semula sabitan dan hukumannya pula, mahkamah memutuskan panel terdahulu telah mempertimbangkan sebanyak 94 alasan rayuan, penghujahan bertulis dan keputusan mahkamah terdahulu yang mendengar kes beliau.
Oleh itu, penghakiman majoriti membuat kesimpulan bahawa tiada merit untuk semakan keputusan mahkamah terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, kata hakim itu.
BACA JUGA: Kekal di penjara, permohonan semakan Najib ditolak