Nasib Najib bakal diketahui sebentar lagi
Nasib Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung semakan terhadap sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd bakal diketahui sebentar lagi.
Bekas Perdana Menteri itu dilapor memasuki pekarangan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 8.36 pagi dengan diiringi polis dan pegawai Jabatan Penjara.
Mahkamah Persekutuan terdiri daripada barisan lima hakim akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak permohonan semakan kes melibatkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Panel lima hakim terbabit diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Najib, 70, memohon diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada pada 23 Ogos tahun lalu.
Sekiranya dibenarkan, Najib memohon perintah supaya dibebaskan atau secara alternatif, rayuan akhirnya didengar oleh panel lain.
Jatuh dari puncak kuasa dan terus ke tirai besi, anak kepada Perdana Menteri kedua Malaysia berkenaan pada masa ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Dia sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Dalam masa sama, Najib masih perlu menempuh tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang sedang di peringkat perbicaraan.
LANJUT MENYUSUL