Lebih 250 program Penggerak Belia Selangor perkasa anak muda

Lebih 250 program termasuk kebajikan akan berlangsung tahun ini menerusi Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang memberi manfaat kepada belia di seluruh negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin mengakui bahawa kewujudan PeBS adalah sangat penting sebagai pembawa mandat kerajaan negeri Selangor bagi merealisasikan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

Katanya, pelbagai program pembangunan belia yang berkaitan modal insan dapat dilaksanakan sekali gus tidak meminggirkan golongan itu yang menjadi tunjang terpenting ke arah pembangunan negeri.

“Hanya di Selangor sahaja wujudnya PeBS, di mana kita mempunyai fokus yang lebih terhadap pemerkasaan anak muda yang ada di negeri Selangor ini.

Jamaliah (tengah) bersama anak muda di kawasan DUN diwakilinya.

“Banyak manfaat yang telah diperolehi oleh anak muda di setiap kawasan DUN dengan penglibatan mereka dalam setiap aktiviti atau program yang telah di usaha dan dijalankan secara bersama,” katanya kepada Harapan Daily ketika diwawancara, kelmarin.

Beliau turut yakin bahawa di bawah kerajaan negeri Selangor, sokongan daripada golongan belia di negeri itu mampu diperoleh berdasarkan sambutan dan penerimaan mereka terhadap program atau aktiviti pembangunan belia yang telah dijalankan.

Pada masa yang sama, Jamaliah turut bangga atas komitmen dan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman untuk terus membantu golongan belia di negeri itu.

“Menteri Besar telah mewujudkan pelbagai jenis bantuan biasiswa bagi membantu anak muda untuk meneruskan pengajian mereka.

“Exco (Khairuddin) juga telah menjalankan tugas dengan baik, di mana beliau sering melaksanakan atau mewujudkan program berkaitan kerjaya yang akan memudahkan anak muda untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Penggerak Belia Selangor (PeBS) adalah program pimpinan anak muda yang merupakan wakil kerajaan negeri bagi menyampai dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri kepada belia-belia di setiap kawasan bagi keseluruhan negeri Selangor.

Pada tahun 2021 dan 2022, sebanyak 559 program atau aktiviti yang telah dijalankan oleh PeBS dalam negeri Selangor.

BACA JUGA Gabungan PH+BN boleh menang bergaya di Selangor