Penglibatan wanita dalam politik perlu ditingkatkan – ADUN

Penglibatan golongan wanita dalam arena politik di negara ini dilihat masih berada pada tahap yang rendah termasuk yang menjadi wakil rakyat, kata wakil rakyat Bandar Utama.

Beliau berkata, sehingga kini matlamat untuk mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam bidang politik dan urus tadbir negara termasuk sebagai calon pilihan raya belum tercapai.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hanya 13.4 peratus calon wanita yang bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat.

“Di bawah kerajaan negeri Selangor, kita hanya mempunyai 21 peratus wakil rakyat wanita. Walaupun tidak mencapai sasaran tetapi jumlah ini adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri yang lain,” kata Jamaliah Jamaluddin kepada Harapan Daily.

JAMALIAH JAMALUDDIN

Menurutnya, wanita perlu menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan politik bukan hanya kerana golongan ini mewakili hampir separuh pengundi dan populasi negara tetapi faedah daripada segi ekonomi dan masyarakat sekiranya negara mempunyai jumlah pembuat keputusan wanita yang mencukupi.

Jamaliah yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor berkata penyertaan wanita dalam proses politik merupakan sesuatu yang harus diambil perhatian oleh sesebuah parti dan kerajaan.

“Saya berharap agar kerajaan negeri dan persekutuan sekurang-kurangnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara progresif yang menitikberatkan isu penglibatan golongan wanita dalam politik kerana ia sangat penting.

“Bagaimana kita (wanita) mahu mengubah dasar dan polisi yang bersesuaian sekiranya tidak mempunyai suara wanita yang mencukupi dalam proses tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, kekurangan penglibatan bilangan wanita di peringkat membuat keputusan atau kepimpinan akan memberi gambaran terdapat ketaksamaan gender dalam politik di Malaysia.

Pada PRU15, gabungan politik yang mencalonkan paling ramai wanita ialah Pakatan Harapan (PH) dengan 40 orang atau 18 peratus, diikuti Barisan Nasional (BN) 22 orang atau 11 peratus dan Perikatan Nasional (PN) dengan 16 wanita atau 9.3 peratus. Keseluruhannya, calon wanita bertanding di 103 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Sementara itu, berdasarkan statistik 2022 Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pemerkasaan politik wanita Malaysia hanyalah 10 peratus.

BACA JUGA: DUN Bandar Utama edar baucar RM200 untuk rakyat B40 ‘shopping’ raya