PM Anwar solat Jumaat di masjid tertua di Beijing

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Dongsi, daerah Dongcheng yang dipercayai masjid tertua di Beijing hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau berasa terharu apabila kunjungannya ke masjid itu disambut oleh imam masjid tersebut bersama ahli jawatankuasa dan umat Islam di Dongcheng.

“Saya tersentuh tatkala disambut oleh Imam Nordin dan pihak masjid serta masyarakat Islam di Dongcheng yang menunggu ketibaan saya dalam suasana yang amat sederhana,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut hari ini.

Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri menceritakan Masjid Dongsi dikatakan dibina pada kurun ke-14 semasa era Dinasti Ming oleh seorang pegawai tentera bernama Chen You.

“Saya turut dibawa melawat sayap masjid yang menempatkan pelbagai khazanah dan warisan kebudayaan serta artifak sejarah dari era Dinasti Ming,” kata beliau.

Tambah beliau, terdapat pelbagai versi naskhah al-Quran ditempatkan di situ dan dipelihara dengan cermat termasuk satu salinan yang ditulis dengan tangan dari era Dinasti Yuan.

“Insya-Allah, saya pasti akan kembali ke sini di lain waktu,” katanya.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdoa selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Dongsi di Beijing pada 31 Mac 2023. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

 

Anwar diberi sambutan ketika berkunjung untuk menunaikan solat jumaat di Masjid Dongsi di Beijing. 

 

Anwar diberi taklimat mengenai koleksi naskhah al-Quran lama yang ditempatkan di Masjid Dongsi. 

 

Anwar bersalaman dengan pemimpin umat Islam ketika berkungjung di Masjid Dongsi di Beijing pada 31 Mac 2023. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

BACA JUGA: Konsep Malaysia Madani ‘bergema’ di China