Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka hari ini

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno itu dinamakan calon Ketua Menteri ke-14 menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu sebelum ini kali pertama menjadi Ketua Menteri Melaka ke-12 pada Mac 2020 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka pada 11 Mac 2018.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan parti itu sudah menghantar nama Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Umno juga telah mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, untuk menerima peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.

Menurutnya, peletakan jawatan Sulaiman itu disebabkan masalah kesihatan.

Sementara itu, Sulaiman dilapor semalam berkata, langkahnya melepaskan jawatan sebagai ketua menteri dibuat tanpa desakan mana-mana pihak.

Katanya, keputusan itu telah lama dibuat kerana ‘desakan hatinya’ selain pernah beberapa kali menyatakan cuma ingin memikul tanggungjawab tersebut selama sepenggal.

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka turut mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan hari ini.

Perkembangan politik terbaharu di Melaka ini bakal menyaksikan pendekatan yang sama dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional apabila pelantikan barisan Exco baharu akan membabitkan wakil parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Pada masa ini, BN mentadbir sepenuhnya kerajaan negeri Melaka dengan barisan exconya hanya terdiri daripada Adun BN.

BN Melaka mempunyai 21 kerusi daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing dengan lima dan dua kerusi.

BACA JUGA Melaka perlu libatkan semua parti komponen Kerajaan Perpaduan – Rafee

Â