Sokong Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik, kemakmuran negeri

Pakatan Harapan (PH) Melaka menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama dengan BN bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu.

“Secara dasarnya, PH Melaka menyokong penubuhan kerajaan perpaduan di negeri Melaka.

“PH Melaka akan berusaha untuk bekerjasama dengan BN negeri Melaka demi memastikan kestabilan politik negeri dapat diwujudkan dan seterusnya kemakmuran ekonomi negeri dapat dipertingkatkan,” kata Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Sementara itu, Timbalan Majlis Pimpinan PKR negeri, Mohd Rafee Ibrahim berkata, semua parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu terlibat dalam pentadbiran negeri.

“Kerajaan negeri harus melibatkan semua parti (komponen Kerajaan Perpaduan) yang ada terutama pelantikan jawatan Exco kerajaan negeri.

“Ia dapat memberi isyarat kepada seluruh rakyat bahawa gabungan ini benar-benar wujud atas dasar kerjasama yang utuh membawa agenda rakyat seperti yang telah dilaksanakan di peringkat kerajaan pusat,” kata Ketua Cabang Hang Tuah Jaya itu.

Pada masa ini, BN mentadbir sepenuhnya kerajaan negeri Melaka dengan barisan exconya hanya terdiri daripada Adun BN.

BN Melaka mempunyai 21 kerusi daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing dengan lima dan dua kerusi.

Susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 27 Mac lalu, mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah.

BACA JUGA Melaka perlu libatkan semua parti komponen Kerajaan Perpaduan – Rafee