Tahap hujah pembangkang di Dewan Rakyat mengecewakan – Penganalisis
Pembangkang sepatutnya mengeluarkan hujah atau membangkitkan isu yang kukuh seperti masalah rakyat, selain menjadi penyemak imbang kepada Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Penganalisis politik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Muqit Muhammad berkata, menerusi pengamatan pihaknya, mutu perbahasan pihak pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat agak mengecewakan.
”Seperti yang kita tahu, pembangkang ada pengalaman sebagai kerajaan tetapi apabila saya lihat sesi perbahasan mereka menerusi dalam talian, ia agak mengecewakan.
”Contohnya, apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan tentang isu bahasa Inggeris. Apabila ditanya mengapa tidak menyokong (penggunaan bahasa Inggeris dalam Rang Undang-Undang) itu, dia kata sebab beliau pembangkang.
”Dulu sewaktu beliau dalam kerajaan, Takiyuddin kata sepatutnya pembangkang (Pakatan Harapan) yang membangkang. Saya fikir hujah yang dikemukakan Takiyuddin itu sangat tidak logik.
”Apabila satu gabungan politik yang pernah menjadi kerajaan berhujah seperti itu, pada saya ia perkara yang mengecewakan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Beliau mengulas demikian apabila ditanya tentang peranan pembangkang yang sepatutnya menjadi penyemak imbang kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Abdul Muqit menyifatkan peranan penyemak imbang sememangnya diperlukan untuk membantu pentadbiran kerajaan yang ada pada ketika ini.
”Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini bukanlah kerajaan yang sempurna. Ada perkara yang perlu ditambah baik, perlu dikritik tetapi ianya tidak berlaku. Itu yang agak mengecewakan termasuk juga kualiti perbahasan dan isu dibangkitkan di parlimen,” ujarnya.
Dalam sidang Dewan Rakyat 29 Mac lalu, Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan empat Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan kerajaan kerana terdapat perbezaan versi bahasa yang digunakan.
Takiyuddin (PN-Kota Bharu) membangkitkan perkara tersebut memandangkan dua RUU mempunyai dwi bahasa manakala dua lagi RUU hanya dalam bahasa Inggeris.
Katanya, perkara itu boleh mengelirukan orang awam memandangkan RUU tersebut dibentang oleh kementerian yang sama.
Sedangkan, katanya menjadi amalan di Dewan Rakyat, setiap RUU menggunakan dwi bahasa bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada orang awam.
RUU anti mengendap yang dibawa semula oleh Kerajaan Perpaduan itu membabitkan peruntukan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang teks autoritatif dalam bahasa Inggeris.
Â