Tawaran diskaun kompaun, saman 60 peratus akan berakhir tengah malam ini

Pengurangan kadar kompaun dan saman sehingga 60 peratus sempena Hari Polis Ke-216 akan berakhir tengah malam ini.

Sejak 20 Mac lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pengurangan kadar itu dengan boleh membayar secara dalam talian tertakluk kepada saman terpilih melalui aplikasi MyBayar Saman.

Pembayaran juga boleh dibuat secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, bagi kesalahan melibatkan kemalangan, bicara mahkamah dan waran, tiada pengurangan kompaun ditawarkan.

Turut tidak mendapat pengurangan termasuk kesalahan membabitkan kenderaan berat, memotong secara bahaya, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, pengubahsuaian ekzos dan saman Op Selamat.

Orang ramai boleh membuat bayaran dengan mendaftar MyBayar Saman dan tidak perlu beratur panjang di kaunter bayaran trafik.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi portal https://mybayar.rmp.gov.my; Google playstore; Apple store dan Huawei Appstore.

BACA JUGA Bilangan kes anggota polis dengan tekanan mental adalah rendah