Anwar: Pengkritik bagaikan katak di bawah tempurung

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulangkan paku buah keras dengan menggelar pengkritik lawatan rasmi antarabangsa beliau sebagai katak di bawah tempurung.

Beliau berkata para pengkritiknya perlu membuka ruang lingkup mereka sebelum memberi komen.

“Kalau buka nampak luas sikit, kalau tak buka, dia nampak tempurung sahaja,” kata beliau ketika ditanya sama ada pelaburan dari China akan menghentikan kritikan terhadap beliau dan kerajaan pimpinan beliau.

Blok pembangkang, Perikatan Nasional telah menjadikan isu lawatan antarabangsa beliau, terutamanya lawatan ke Arab Saudi sebagai peluru untuk mengkritik beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelaburan bernilai RM170 bilion akan dikongsi bersama oleh negeri-negeri berikut:-

Selangor, Sabah, Sarawak, Pahang , Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Dua lagi memorandum persefahaman di peringkat kerajaan turut ditandatanganu selepas mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Li Qiang.

Satu ialah di antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Akademi Sains Pertanian Tropika Cina dan yang kedua di antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Dewan Perdagangan Import dan Eksport Bahan Makanan, Hasil Tempatan dan Hasil Sampingan Binatang.

Di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kedua dua buah negara akan menjalinkan kerjasama melalui projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia China, Laluan Rel Pantai Timur dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif.

Universiti Tsinghua turut dipelawa untuk membuka kampus di Kuala Lumpur.

BACA JUGA: Malaysia peroleh pelaburan RM170 bilion