Datuk Bandar MBPP India pertama

Buat kali pertama, kerajaan Pulau Pinang telah melantik seorang anggota masyarakat dari kaum India – Rajendran Anthony, 60 – sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Keputusan pelantikan ini telah dibuat oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri semalam.

“Sejarah tercipta kerana beliau merupakan datuk bandar lantikan pertama dari masyarakat India di negara ini. Beliau merupakan satu-satunya orang India yang memegang jawatan datuk bandar,” kata ahli majlis mesyuarat kerajaan Jagdeep Singh Deo.

Sebelum ini Rajendran menjawat jawatan setiausaha MBPP, iaitu sejak Januari tahun ini. Beliau mempunyai pengalaman bekerja dengan majlis bandaraya selama 37 tahun dan pernah mengetuai jabatan kejuruteraan.

Pulau Pinang pernah mempunyai datuk bandar dari kaum India sebelum ini iaitu DS Ramanathan yang memenangi kedudukan tersebut. Beliau menjadi Datuk Bandar Georgetown dari tahun 1957 hingga 1961.