Masalah kekurangan guru akan diatasi dengan pengambilan khas
Bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan pengambilan khas guru-guru dalam waktu terdekat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, setakat ini KPM kekurangan 19,431 orang atau 4.49 peratus berikutan faktor persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.
“Sekarang kita mengalami masalah kekurangan guru dan pelbagai usaha serta langkah sedang dijalankan oleh KPM untuk mengatasi masalah itu antaranya kami (KPM) dalam rancangan untuk adakan pengambilan khas guru-guru baharu.
“Pengambilan itu akan diumumkan dalam satu atau dua bulan lagi bagi mengatasi masalah kekurangan guru terutama bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam,” beliau dipetik berkata oleh Bernama.
Menurutnya, masalah kekurangan guru bukan hanya berlaku di negeri tertentu malah turut membabitkan seluruh negara.
Sementara itu, Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyarankan agar semua pelajar menyertai pameran pendidikan institusi pengajian tinggi awam yang diadakan di empat lokasi iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor untuk meneroka peluang pendidikan yang boleh disertai selepas tamat pendidikan peringkat menengah.
Menurutnya, pameran-pameran pendidikan seperti itu adalah antara contoh untuk merapatkan lagi jurang pendidikan yang dihadapi oleh komuniti, malah mampu memberi ruang komprehensif bagi pelajar menyedari dan menerokai peluang pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan dalam memberi akses pendidikan yang saksama kepada semua murid.
“Menyedari betapa pentingnya kualiti pendidikan, semua lapisan masyarakat perlu didedahkan dengan peluang yang setara agar masa depan anak-anak kita terjamin dan menjadi aset kepada negara,” katanya.