Pengeksport Malaysia dijangka mendapat faedah penyertaan UK di dalam CPTPP

Syarikat pengeksport di Malaysia dijangka akan mendapat faedah ekoran penyertaan United Kingdom di dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi pelaksanaan perjanjian tersebut, UK akan menghapuskan duti import untuk banyak barangan termasuk komoditi seperti kelapa sawit, koko, getah, bahan elektrik, elektronik dan kimia yang merupakan bahan eksport utama Malaysia, katanya.

“Penyertaan UK ke dalam CPTPP akan membuka peluang baru kepada industri kecil dan sederhana Malysia terutamanya apabila lebih banyak saluran dibuka untuk mendapatkan bahan dengan harga yang kompetitif. Bantuan teknikal dan program bina upaya akan turut membantu menjana pertumbuhan ekonomi dan mengutuhkan rangkaian bekalan serantau,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Keahlian di dalam CPTPP juga akan turut merapatkan kerjasama ekonomi memandangkan Malaysia dan UK mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan,” tambah beliau.

Semua pihak di dalam CPTPP berada dalam fasa memuktamadkan bahagian perundangan termasuk menandatangani protokol penyertaan yang dijadualkan berlangsung dalam suku ketiga tahun ini.

CPTPP ialah perjanjian perdagangan paling komprehensif yang akan menamatkan 98 peratus tarif perdagangan melibatkan KDNK sebanyak RM60 trilion yang membabitkan 500 juta penduduk dunia.

BACA JUGA: CPTPP takkan beri kesan negatif ke atas sektor pertanian