Tiada halangan untuk ahli politik buat program di IPTA

Tiada halangan untuk ahli politik mengadakan program di institut pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia, tegas Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin.

Walau bagaimanapun mereka perlu berbincangan dengan pihak pengurusan universiti terlebih dahulu.

“Mungkin ada ‘break down’ dalam komunikasi, jadi dalam hal ini kita memang berharap agar kedua-dua pihak dapat berjumpa dan mengaturkan semula program agar dibuat sekali lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kejadian di mana Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilarang memasuki kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menghadiri satu sesi dialog.

Syed Saddiq dihalang masuk ke kampus tersebut pada 30 Mac untuk satu sesi melibatkan mahasiswa IPTA tersebut.

Sementara itu, UiTM dipetik berkata penganjur program, Mahasiswa Demokratik Malaysia telah menganjurkan dialog #JelajahMansuhAUKU tanpa memohon kepada kampus Shah Alam.

Ini kerana aktiviti yang membabitkan pihak luar mesti mendapat kelulusan universiti terlebih dahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, persoalan berkaitan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 telah dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun pihak kementerian menjelaskan bahawa akta tersebut masih diperlukan dan mereka terbuka kepada usaha menambahbaik akta tersebut.

BACA JUGA: Menteri Pendidikan tidak tolak kemungkinan benar cawangan parti politik di kampus