Tuduh batal sewaan dewan, MAEPS digesa saman Sanusi – Mahfuz

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) mengambil tindakan saman terhadap Menteri Besar Kedah Mohammad Sanusi berikutan tuduhan isu pembatalan sewaan dewan.

Beliau yang juga naib presiden Parti AMANAH Nasional berkata, langkah tersebut wajar diambil susulan dakwaan pembatalan program tersebut berkait dengan kehadiran Menteri Besar Kedah itu, boleh menjejaskan reputasi MAEPS.

“MAEPS belum buat keputusan, tiba-tiba mereka bagi tahu MAEPS tidak bagi, jadi ia satu kenyataan yang sangat pelik.

“Sebab itu, saya minta MAEPS mengambil tindakan menyaman mereka kerana ia telah merosakkan reputasi MAEPS,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Tambahnya, pihak kerajaan negeri sepatutnya mendapatkan pengesahan melalui MAEPS dan bukannya pihak lain serta perlu melampirkan surat Surat Sebut Terima jika tuduhan yang dilemparkan tidak benar.

“Dia hanya melalui pihak syarikat katering tetapi tidak menghubungi pihak MAEPS untuk mengesahkan pembatalan itu.

“Dan mereka (pejabat Menteri Besar) sendiri mengakui ada persetujuan (Surat Sebut Terima), jika ada lampirkan surat itu,” katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Hilmi Abdul Wahab berkata, pihaknya telah membuat bersetujuan dengan pengurusan MAEPS untuk membuat sewaan tapak RM70,000 bagi melangsungkan program Majlis Berbuka Puasa Anak Kedah di Perantauan pada 9 April ini.

Namun, MAEPS dalam satu kenyataan, menafikan dakwaan terbabit dan memaklumkan pihaknya masih belum mengeluarkan surat setuju terima kepada pihak penganjur.