Empat faktor kejayaan PM Anwar bawa pulang pelaburan besar dari China

Terdapat empat faktor yang menyumbang kepada kejayaan Kerajaan Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga beliau mampu meraih komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion daripada pelabur China.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hasil penjelasan daripada seorang ahli akademik bergelar Professor Emiratus, beliau dapat merumuskan empat faktor berhubung sikap ‘mesra’ yang ditunjukkan pemimpin negara China terhadap Anwar.

Faktor pertama jelasnya, Malaysia adalah negara Asean pertama menjalin hubungan dengan China.

“Kedua, keyakinan China terhadap kepimpinan Malaysia kini yang mempunyai keinginan membina masa depan yang lebih baik.

“Ketiga, Malaysia mempunyai peranan yang penting dalam Asean sekarang memandangkan Anwar dan Jokowi merupakan dua pemimpin Asean yang berpengaruh.

“Keempat, pada bulan Mei tahun 2024, merupakan ulangtahun ke-50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China. Peristiwa bersejarah ini sangat penting yang sentiasa disebut oleh China,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Empat faktor

Hassan berkata, kemungkinan mood ke arah ulang tahun ke-50 itu mula dibina dari lawatan bersejarah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada semalam, Kerajaan Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China, di Beijing semalam.

Pencapaian berkenaan diumumkan Anwar sendiri di hadapan ribuan pelabur dan ahli perniagaan pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023.

Menurut Perdana Menteri, ia sekali gus menunjukkan keyakinan China, khususnya pelabur dari negara itu terhadap ekonomi Malaysia.

Antara momen yang menarik perhatian juga mestilah apabila Anwar dibentang dengan hamparan permaidani merah, sebagai tanda sambutan rasmi kerajaan China sempena lawatannya ke negara tembok besar itu.

Baca juga: Anwar disambut kereta rasmi di Beijing, Hsien Loong naik bas lapangan terbang