Hannah Yeoh serikan berita RTM, dipuji berbakat jadi pembaca berita
Kemunculan eksklusif Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di kaca televisyen bagi edisi sulung ‘Stadium RTM’ dalam Berita Perdana RTM malam tadi, menuai pujian ramai.
Hannah yang tampil dengan blazer berwarna merah dilihat tidak kekok dan tampil bersahaja ketika mengemudi segmen yang memaparkan perkembangan sukan tempatan dan antarabangsa selama lebih empat minit itu.
Meninjau ke Twitter Hannah, ramai yang meninggalkan komen positif kepada Ahli Parlimen Segambut itu, memuji kepetahan dan kefasihan beliau berbahasa Melayu.
“Kalau berita disampaikan seperti ini, saya akan kembali menonton berita RTM yang saya tidak tonton sejak 40 tahun lepas,” seloroh pengguna Twitter.
Mereka juga beranggapan Hannah mempunyai bakat sebagai pembaca berita, melihat daripada gaya dan senyuman yang tidak lekang sepanjang mengemudi program berkenaan.
Hannah sebelum ini pernah berkongsi, menjadi pembaca berita adalah sebahagian daripada impiannya sejak di bangku sekolah.
Boleh dikatakan impian sejak kecilnya kini sudah termakbul selepas diberi penghormatan membuat penampilan eksklusif sempena hari ulangtahun RTM yang ke 77.
Antara bahan berita dibaca Hannah adalah paparan mengenai penyertaan Malaysia di Sukan SEA diikuti proses penurapan Litar Antarabangsa Sepang serta prestasi Harimau Malaya yang mencatat dua kemenangan dengan menumpaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, baru-baru ini.
Stadium RTM merupakan salah satu slot baharu dalam Berita Perdana yang tampil dengan wajah baharu bermula pada Sabtu menerusi pendekatan skrip lebih ringkas, penyampaian yang dinamik manakala durasi pula dipendekkan daripada sejam kepada 30 minit bersempena ulang tahun ke-77 RTM.
Di penghujung siaran, Hannah turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat ulang tahun ke-77 kepada RTM sebelum mengakhiri segmen dengan mengungkapkan ‘Teman Setia Anda’, yang merupakan moto stesen penyiaran itu.
Beliau juga memuat naik satu hantaran di laman Instagram yang memaparkan wajahnya serta pembaca berita RTM lain beserta kapsyen “bucket list”.
“Terima kasih @beritaRTM atas keyakinan yang diberi kepada saya sebagai penyampai pertama untuk segmen ini,” katanya dalam satu lagi hantaran di laman Instagram ketika mempromosi Stadium RTM, pada 30 Mac.
Baca juga: Surat minta Wadi Annuar mohon tauliah telah dikemuka sejak 2019 lagi – AJK Fatwa Perlis