Pendapat | Adakah Sanusi boleh dihukum penjenayah Qazaf?

Oleh Ahmad Mursi

Menteri Besar PAS Kedah mengeluarkan kenyataan menghina Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan kiasan tuduhan liwat ‘alu bertemu alu’ dan dia disaman 10juta.

Adakah tindakan Sanusi ini dikira Jenayah Qazaf? Jika ya, bukankah Sanusi patut disebat 80 kali, kesaksiannya tidak diterima selama-lamanya kerana dia telah menjadi fasiq menurut hukum hudud. (An-Nur:4)

Qazaf ialah menuduh seorang yang baik melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi yang adil. Qazaf ialah satu dari enam kesalahan hudud.

Walaun-walaun juga berlumba-lumba membuat jenayah qazaf dengan pelbagai kiasan antaranya Waliwat, main belakang, luar tabie dan banyak lagi.

Qazaf berlaku bukan hanya dengan lafaz yang terang, tetapi boleh berlaku dengan kiasan dan sindiran.

DULU PAS PEJUANG HUDUD, KINI MEREKA PELAKU JENAYAH HUDUD

Dahulunya Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Fadhil Noor mempertahan Anwar Ibrahim bahawa konspirasi dibuat untuk memburukan Anwar dengan tuduhan liwat.

Oleh kerana tiada korupsi yang dilakukan Anwar semasa dalam kerajaan, maka musuh politiknya ketika itu memilih isu moral untuk menjatuhkannya.

Haji Hadi turut menulis buku Qazaf untuk menjelaskan lagi isu ini. Kini Pemimpin PAS dan walaun berlumba-lumba memburukkan Anwar dengan tuduhan liwat secara jelas atau berkias.

Bahkan Haji Hadi sentiasa mengulangi perkataan “luar tabi’e” dalam banyak tulisan dan ucapannya untuk menyindir kerajaan Perpaduan dan Anwar Ibrahim.

Dewan Ulamak PAS yang dikatakan ulama paling ramai dalam dunia senyap dan hanya jadi rubber stamp sebab mereka bukan pun sebenarnya ulama mengikut tradisi Islam.

QAZAF ADALAH JENAYAH, SEBAGAIMANA ZINA ATAU LIWAT

Jika walaun dan PAS melihat liwat adalah perkara keji, tidakah mereka tahu bahawa Qazaf juga adalah dosa besar dan sama berat di sisi Islam?

Allah jadikannya dosa besar kerana melibatkan kehormatan dan maruah seseorang. Mempertahan Maruah pula satu dari Objektif Syariah. Disyaratkan empat saksi yang adil untuk saksikan insiden zina atau liwat dengan jelas berlaku yang mana syarat ini bukan perkara mudah melainkan zina atau liwat itu berlaku sangat terbuka dan berleluasa.

Jika tiada empat saksi, penuduh dianggap melakukan dosa besar Qazaf dan mesti dihukum sebat.

Sepanjang konspirasi kes liwat Anwar, bukti-bukti juga tidak berasas dan mencurigakan jauh sekali mengikut syarat pembuktian hudud berkenaan kes ini.

Konspirator yang merancang fitnah ini pula ramai yang mati dalam keadaan tragis samada hilang akal atau koma atau pelbagai musibah disebabkan dosa yang jahat ini.

Dr Mahathir juga akui dalam video interview bahawa pendakwaraya dibayar RM5 juta untuk pastikan Anwar bersalah.

PESALAH QAZAF DIANGGAP FASIQ SELAMA-LAMANYA

Pesalah zina atau liwat yang telah dihukum sebat, dosa mereka telah dibersihkan dan boleh kembali kepada masyarakat dalam keadaan telah suci dari dosa itu.

Tetapi pesalah Qazaf, kesaksian mereka tidak diterima SELAMA-LAMANYA kerana mereka telah menjadi fasiq.Anwar telah pun dihukum walaupun dengan konspirasi politik dan pendakwaan yang ragu.

Para mufti perlu menjelaskan adakah tindakan Sanusi ini ada unsur Qazaf dari perbuatannya dan perlu diambil tindakan?

Bagaimana pula PAS boleh mengangkat seorang yang melakukan dosa besar Qazaf sebagai pemimpin dan MB?

  • Ahmad Mursi merupakan penulis luar yang menyumbangkan pandangan mengenai isu semasa. Pandangannya tidak semestinya mewakili Harapan Daily.

BACA JUGA: Tuduh batal sewaan dewan, MAEPS digesa saman Sanusi – Mahfuz

Â