PRN Selangor: Wanita PKR mahu kuota 30 peratus calon dipenuhi

Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, Rodziah Ismail meletakkan harapan tinggi agar Pakatan Harapan (PH) dapat mempertimbang kuota 30 peratus kerusi untuk diberikan kepada sayap wanita PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan datang.

Beliau berkata Wanita PKR akan mengetengahkan sekurang-kurangnya tujuh calon wanita untuk memenuhi kuota 30 peratus berkenaan.

Buat masa ini katanya, beliau akan menggerakkan lebih banyak kursus bersama calon-calon wanita PKR ke arah mempersiapkan jentera menghadapi PRN.

“Pada semalam, saya telah berbincang dengan pihak wanita di Selangor untuk mereka bersiap sedia memberikan calon-calon yang kita rasa boleh diketengahkan.

“Harapan kami kali ni adalah untuk meletakkan 30 peratus wanita bertanding. Khususnya PKR, kita harapkan minimum tujuh calon wanita untuk diketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Ampang di Grand Barakah Hotel hari ini.

Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang turut menegaskan pendiriannya bahawa satu dasar perlu dimuktamadkan di peringkat Parlimen agar 30 peratus kuota pencalonan mesti diberikan kepada wanita.

“Kalau boleh usaha ini tidak dibiarkan secara verbal sahaja, tapi elok dibuat satu dasar baharu. Saya mencadangkan di Parlimen supaya mana-mana parti politik yang tidak menghantar 30 peratus nama calon wanita, maka parti politik itu tidak boleh menamakan calon-calon lain.

“Perlu ada rang undang-undang dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia untuk mengubahnya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan kekal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Rodziah berkata keputusan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan.

Baca juga: Hannah Yeoh serikan berita RTM, dipuji berbakat jadi pembaca berita