TH gantung lesen pengelola jemaah haji Emraz Travel

Lembaga Tabung Haji (Th) mengambil tindakan tegas menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

Menurut kenyataan TH, keputusan ini diambil berikutan makluman beberapa aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang diberikan syarikat tersebut.

Susulan itu, TH berkat bakal jemaah yang memilih untuk mengerjakan haji melalui pakej swasta masih boleh memilih antara 22 lagi syarikat PJH yang dilesenkan termasuk anak syarikat TH iaitu TH Travel & Services Sdn Bhd.

“TH sentiasa memantau prestasi syarikat PJH yang dilesenkan termasuklah perkhidmatan yang diberikan bagi ibadah umrah.

“TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak demi untuk menjamin kebajikan jemaah haji negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini laporan menyebut tahun ini merupakan kali pertama Emraz Travel memperoleh lesen sebagai PJH bagi membawa jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim ini.

Semalam dalam hantaran di Facebook, syarikat agensi pelancongan umrah dan haji berpusat di Presint 8, Putrajaya itu memaklumkan kaunter khidmat pelanggannya di seluruh negara ditutup untuk menyusunan semula operasi.

Katanya orang ramai boleh menghubungi mereka secara dalam talian dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Agensi tersebut merupakan syarikat umrah dan haji berdaftar dengan MOTAC sejak tahun 2015 dan mendakwa telah mengendalikan 40,000 jemaah umrah sejak tahun 2017.

Bagi tahun ini, ia menawarkan pakej haji dari harga RM49,990 sehingga RM124,990.

BACA JUGA: TH pertimbang konsep wakaf haji, tangani tekanan subsidi