21.5 juta telur diedar, FAMA jamin Aidilfitri cukup bekalan telur

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengedarkan sebanyak 21.5 juta biji telur melalui 369 outlet pemasarannya di seluruh negara sehingga 31 Mac lalu.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri, berkata buat masa ini, tujuh negeri pembekal utama komoditi itu ialah Melaka, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, FAMA mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan berbincang untuk memasarkan telur ayam ke seluruh negara.

“Intervensi ini diteruskan sehingga Jun tahun ini, namun penilaian semasa akan dilakukan sama ada perlu diteruskan lagi sehingga hujung tahun” dipetik Bernama.

Sehubungan itu, beliau memberitahu FAMA memberi jaminan bekalan telur, termasuk gred A dan B di seluruh negara stabil bagi menampung keperluan pengguna sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Dalam masa sama, jelasnya, pihak pengeluar cuba untuk memenuhi keperluan pengguna ketika permintaan bagi telur gred AA, gred A dan gred B meningkat pada bulan Ramadan.

Bagaimanapun, katanya, penghasilan bagi telur gred itu juga bergantung kepada umur ayam yang diternak.

“Secara keseluruhan, kita mempunyai banyak pilihan termasuk telur omega dan telur kampung yang mempunyai saiz membolehkan pengguna membuat pilihan,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Pengeluaran telur pulih hujung tahun, henti import bila-bila masa – Menteri