Antara biayai pencen dan perkhidmatan kepada rakyat

Oleh NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF

Saya pinjam maklumat dari Ekonomi Rakyat berkenaan belanjawan negara. Apa yang menarik perhatian saya ialah kerajaan membelanjakan RM31 bilion untuk membayar pencen kepada 700,000 pesara kerajaan.

Di dalam jadual yang mereka sertakan, sejumlah RM91 bilion lagi digunakan untuk membayar gaji dan manfaat kira-kira 1.2 juta penjawat awam.

Jika dicampur gaji dan pencen ini, 41 peratus daripada belanjawan mengurus kerajaan telah digunakan bagi manfaat 1.9 juta dari 33 juta penduduk Malaysia.

Jika dibandingkan dengan pendapatan daripada cukai dan sebagainya (tidak termasuk pinjaman yang dikira pendapatan kerajaan dalam perakaunan secara tunai) yang dianggarkan sebanyak RM291 bilion, jumlah bayaran gaji dan pencen sudah mencapai tahap 42 peratus.

Dari peruntukan RM289 bilion untuk perbelanjaan pengurusan 2023, RM168 bilion atau 58 peratus digunakan untuk membayar gaji, pencen dan hutang. Cuma tinggal RM121 bilion untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang lain.

Peningkatan bayaran pencen bagi tahun 2021 dan 2022 adalah masing-masing 5.7 dan 7.8 peratus. Ianya berkurangan sebanyak 1 peratus untuk tahun 2023.

Berbeza dengan sektor swasta yang mana pekerjanya kena menabung sendiri untuk membiayai kehidupan hari tua mereka melalui skim KWSP, penjawat awam dijanjikan manfaat tertentu apabila mereka bersara.

Di samping ini, pesara kerajaan juga mendapat manfaat kesihatan. Ini menjadi satu cabaran kepada kerajaan kerana jumlah bayaran ini akan terus berkembang pada masa hadapan kerana jangka hayat rakyat Malaysia semakin panjang. Penerima pencen akan dibayar pencen di dalam tempoh yang lebih lama.

Inilah sebabnya kerajaan tidak boleh dengan mudah menambah bilangan penjawat awam. Kos gaji dan pencen kena diambil kira. Lepas itu ada pencen terbitan pula. Ini bermakna tanggungan pencen kerajaan tidak terhad kepada jangka hayat pesara semata-mata.

Kerajaan telah menubuhkan Kumpulan Wang Simpanan Pencen (KWAP) bagi membantu kerajaan di dalam melabur bagi mendapatkan pulangan untuk membiayai tanggungan pencen kerajaan.

KWAP kena melabur dengan penuh berhemah kerana ada kesannya ke atas tanggungan pencen kerajaan. Harapnya, skandal buruk seperti kes SRC International tidak akan berulang lagi.

Isu tanggungan pencen ini adalah satu isu besar di kebanyakan negara yang mengamalkannya. Bagi negara yang mana kadar pertambahan penduduk semakin menurun, bilangan orang yang bekerja untuk menjana pembayaran pencen mak, bapa, datuk dan nenek mereka semakin kecil.

Di Perancis sekarang misalnya, perlaku pelbagai bantahan dan rusuhan apabila kerajaan Perancis menaikkan umur pesaraan dan jumlah tahun perkhidmatan sebelum layak menerima pencen.

Jumlah hutang dan tanggungan negara yang kini berjumlah RM1.5 trilion menjadikan isu pencen ini semakin rumit. Jumlah RM46 bilion yang diperuntukkan tahun ini hanyalah bagi membayar kos/faedah hutang kerajaan.

Pokoknya tidak bergerak bahkan dijangka bertambah kerana kerajaan kena berhutang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.

Yang agak sedih, sebahagian daripada perbelanjaan ini adalah untuk membayar bangunan yang sudah sedia ada yang dipajak oleh kerajaan di bawah skim seperti bina, pajak dan pindah (BLT).

Sebagai rakyat, kita kena menambahkan ilmu berkenaan kenegaraan termasuk berkenaan pengurusan kewangan negara. Jika dahulu kita boleh kata kesannya akan ditanggung oleh cucu cicit kita, namun sekarang ini kita sendiri sudah merasainya apabila ada kekangan di dalam perkhidmatan kerajaan kerana kekangan peruntukan.

Ingat, peratusan bayaran gaji dan pencen akan terus meningkat. Tanpa pertambahan pendapatan kerajaan atau pun penjimatan kos yang signifikan, bahagian untuk membiayai perkhidmatan kerajaan yang lain akan menjadi semakin kecil.

Siapa kata kualiti pemimpin dan tadbir urus yang mereka laksanakan tidak menjejaskan kualiti hidup kita?

Skandal di sana sini menyebabkan peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membiayai perkhidmatan kepada rakyat terpaksa digunakan untuk menutup lubang-lubang yang ada sampai berbilion ringgit. Kita masih tak terasakah?

BACA JUGA Petugas perubatan kontrak bakal diserap ke jawatan tetap tanpa pencen