Anwar wajar dipuji berjaya raih pelaburan RM170 bilion hasil lawatan ke China
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim patut dipuji apabila lawatannya ke China berjaya meraih sebanyak RM170 billion komitmen pelaburan – jumlah terbesar yang pernah dicatatkan oleh seorang Perdana Menteri.
Beliau berkata jumlah pelaburan itu melibatkan sebanyak 19 memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai di antara perniagaan China dan Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital.
“China adalah negara kelapan dilawati Anwar sejak pelantikannya sebagai Perdana Menteri, kurang dari lima bulan lepas dan tidak ada ragu-ragu lagi, negara yang paling berjaya dari segi komitmen pelaburan untuk Malaysia.
“Tujuh negara lain yang telah dilawati Anwar adalah Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Turki, Arab Saudi dan Kemboja,” katanya dalam kenyataan.


Namun Kit Siang berkata apa yang membimbangkan adalah semboyan perang telah mula didengari dalam persaingan global di antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Beliau melahirkan rasa bimbang berlaku bencana global sekiranya cubaan AS untuk menyekat China daripada menjadi kuasa besar tunggal dunia berakhir dengan sebuah peperangan.
“Malaysia dan negara-negara lain di dunia perlu pastikan perkara ini tidak terjadi dan pandangan awam di AS perlu menerima bahawa China akan menjadi negara nombor satu di dunia kerana saiz dan dinamisme rakyatnya.
“Tidak ada sesiapa pun yang mahu melihat persaingan China-AS berakhir dengan peperangan kerana perkara ini tidak akan membawa manfaat kepada dunia, China atau AS,” ujarnya.
Tambah beliau, pada masa ini terdapat kira-kira 50 juta diaspora China dan 32 juta diaspora India di seluruh dunia
“Kerajaan Malaysia yang mewakili masyarakat majmuk di Malaysia perlu memanfaatkan diaspora ini untuk membantu menghalang konfrontasi China-Amerika Syarikat dari menjadi perang yang akan mengorbankan semua orang,” katanya.
BACA JUGA: Empat faktor kejayaan PM Anwar bawa pulang pelaburan besar dari China