DAP lapor polis, video fitnah lima isu dikongsi ADUN Pas

Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin terdesak untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sehingga didakwa sanggup melakukan fitnah menerusi video terhadap DAP.

Mendedahkan perkara itu, AJK Tertinggi DAP Kebangsaan, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata video bertajuk ‘Lima isu Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengikut telunjuk DAP’ berdurasi selama 4 minit 21 saat yang telah dimuat naik pada 1 April 2023 menerusi Facebook wakil rakyat Jengka, Shahril Azman Abd Halim Al Hafiz daripada Pas.

Beliau mendakwa, antara fitnah yang disebarkan itu adalah isu berkaitan kajian semula mata pelajaran pendidikan Islam, pencerobohan tanah di Pahang dan ‘muslihat’ menangani masalah perumahan apabila Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) membawa masuk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dari Singapura ke Malaysia.

Turut dibangkitkan isu penjualan mercun yang telah dihalalkan dan harga daging babi.

“Saya bimbang politik kebencian, fitnah dan juga tuduhan-tuduhan palsu seperti ini akan mencemar dan merosakkan politik tanah air yang seterusnya akan memangsakan DAP khususnya bagi menghadapi PRN.

“Saya melihat bahawa perkara ini sangat penting di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan Akta 574 iaitu kenyataan-kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Sheikh yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata beliau tampil membuat laporan polis hari ini kerana tidak mahu cara politik tidak matang dan fitnah digunakan untuk memburukkan lawan.

“Saya telah pergi ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk membuat satu laporan polis terhadap video (fitnah) yang telah dimuat naik.

“Isu ini penting untuk saya buat laporan polis kerana berunsur fitnah dan tuduhan palsu yang boleh menanam kebencian terhadap parti politik DAP sebagai sebuah parti politik yang sah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menyifatkan tindakan individu terbabit yang telah menyebarluaskan fitnah merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan dangkal.

“Kita semua ada hak untuk bercakap namun kena pastikan bahawa fakta-fakta yang disampaikan itu adalah benar dan tepat.

“Saya harap pihak berkuasa memandang serius dan mengambil tindakan kerana tidak mahu perkara yang menyebabkan fitnah ini akan terus berleluasa,” katanya.

Katanya lagi, fitnah yang berlaku ini juga akan menyebabkan masyarakat di luar sana akan memandang serong terhadap DAP di bawah kerajaan Malaysia Madani.

BACA JUGA: Retorik ‘salah DAP’ bakal berkumandang

Â