Dr Zaliha tiada ‘tongkat ajaib’ tapi serius mahu selesaikan isu doktor kontrak

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau tidak mempunyai ‘tongkat ajaib’ untuk menyelesaikan isu membabitkan doktor kontrak dalam masa singkat namun tiada siapa yang perlu meragui komitmennya terhadap perkara itu.

Beliau menegaskan pihaknya bersikap serius untuk menyelesaikannya apabila mengangkat perkara itu ke Kabinet.

“Saya seorang doktor perubatan dan saya cuba sedaya upaya untuk menyelesaikannya. Adakah saya tidak serius untuk menyelesaikannya jika saya membawa perkara ini ke peringkat Kabinet?

“Saya tidak mempunyai tongkat ajaib untuk menyelesaikan sesuatu dalam sekelip mata. Tiada siapa yang melakukannya,” katanya dipetik dari New Strait Times hari ini.

Sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Mogok Doktor Kontrak mendakwa lebih 8,000 doktor dijangka mogok bagi membantah gaji mereka yang rendah dan sistem yang dikatakan tidak adil.

Mogok Doktor Malaysia berkata mogok itu akan diteruskan dan menggesa doktor mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit untuk tiga hari akan datang.

Dr Zaliha berkata beliau memahami kesusahan kumpulan itu tetapi berkata mogok bukanlah penyelesaian.

Kementerian tambahnya telah mengeluarkan peringatan terhadap mogok itu melalui pekeliling oleh ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata mereka yang menyertai mogok itu akan tertakluk di bawah integriti penjawat awam dan etika perkhidmatan awam.

Dr Zaliha berkata beliau memerlukan masa untuk menangani masalah doktor kontrak tetapi tiada siapa yang perlu meragui komitmennya.

Dalam pada itu, hospital kerajaan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi mendepani kemungkinan mogok selama tiga hari oleh doktor kontrak mulai hari ini.

Dr Zaliha berkata pegawai kementerian telah diminta memantau sama ada mogok itu akan diteruskan seperti yang dirancang atau sebaliknya.

“Sebagai sebahagian daripada pelan kontingensi kami, pengarah kesihatan negeri dan pengarah hospital telah diminta untuk berjaga-jaga,” katanya.

Dr Zaliha berkata operasi hospital dan klinik kerajaan tidak akan terjejas sekiranya mogok itu berlaku.

“Kami akan memastikan tiada gangguan kepada operasi kemudahan kesihatan kementerian, dengan perkhidmatan kesihatan disediakan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut ditanya mengenai komposisi jawatankuasa peringkat tinggi yang ditubuhkan untuk menangani isu doktor kontrak seperti yang diumumkan pada Sabtu.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan terdiri daripada kementerian dan agensi utama sambil menambah bahawa beliau akan membincangkan penubuhannya dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata masalah itu adalah isu yang berterusan dan diwarisi daripada kerajaan terdahulu apabila mewujudkan skim doktor kontrak pada 2016 kerana lebihan bekalan doktor.

Kementerian, tambahnya, telah menyelesaikan beberapa isu sepanjang tempoh itu seperti mewujudkan jawatan tetap, menaja latihan pakar, kenaikan gaji berasaskan ‘time base’, kenaikan pangkat gred khas dan mewujudkan gred UD56 untuk pakar perubatan.

BACA JUGA: Permintaan para doktor kontrak dalam perhatian Dr Zaliha