Hampir sembilan juta terima Sumbangan Tunai Rahmah mulai 5 April – MOF
Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa dua akan dikreditkan ke akaun bank penerima berdaftar secara berperingkat mulai 5 April ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata STR fasa dua yang melibatkan nilai RM1.26 bilion akan disalurkan kepada 8.7 juta penerima golongan B40.
Penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran tersebut pada hari yang sama.
Fasa kedua STR melibatkan empat juta isi rumah, masing-masing menerima RM200 melibatkan peruntukan RM0.80 bilion.
Seramai 1.2 juta warga emas tiada pasangan pula menerima RM100 (RM0.11 bilion) manakala 3.5 juta individu bujang turut menerima RM100 dengan kos RM0.35 bilion.
“Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai pada tarikh sama dan penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 5 April.
“Dengan pembayaran ini, sejumlah RM2.93 bilion peruntukan STR dibayar kepada golongan B40 pada tahun 2023,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata bagi pembayaran fasa tiga dan empat pula dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada Julai dan November ini.
Katanya pembayaran itu mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR yang diterima semasa tempoh permohonan dan pengemaskinian.
Sehingga 31 Mac, sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan kemas kini diterima dengan kesemuanya akan melalui proses verifikasi sebelum diluluskan mengikut kategori kelayakan STR.
Maklumat lanjut berkaitan pembayaran itu boleh dirujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.