Isu doktor kontrak: Kerajaan diseru tambah jawatan tetap

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menyeru kerajaan untuk menambah jawatan tetap bagi pegawai perubatan kontrak sebagai satu penyelesaian jangka masa panjang.

Katanya, Kerajaan Perpaduan hari ini perlu bertanggungjawab untuk menanganinya walaupun isu doktor kontrak diwarisi dan merupakan hasil daripada dasar yang gagal pada masa lalu.

Pada masa yang sama, beliau menyambut baik penubuhan sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi yang melibatkan beberapa kementerian dan agensi bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak.

Walau bagaimanapun, beliau berharap isu berkaitan akan dapat ditangani segera oleh jawatankuasa itu dengan cara yang baik.

“Doktor kontrak ini memang diperlukan untuk diserap supaya mereka mempunyai peluang untuk meneruskan pengajian sebagai doktor pakar yang amat diperlukan oleh negara ini.

“Ini sesuatu yang amat diperlukan walaupun terdapat pengumuman untuk ada penambahan jawatan tetap bagi doktor kontrak.

“Namun, jumlahnya masih tidak mencukupi kerana ia merangkumi petugas perubatan sektor lain termasuk farmasi dan pergigian,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan jaminan kerajaan melantik 1,500 perjawatan tetap pada tahun ini sebagai penyelesaian jangka pendek.

Sehubungan itu, Lee mencadangkan kerajaan meneliti perkadaran pelantikan itu dengan bilangan doktor kontrak sedia ada.

Menurutnya, doktor kontrak bukan merupakan kakitangan yang tiada kerja, malah ia merupakan barisan hadapan yang dikategorikan sebagai senarai perkhidmatan perlu dalam Kementerian Kesihatan.

Tambahnya, sekiranya golongan profesional terbabit dipinggirkan ia akan memberi kesan terhadap perkhidmatan kesihatan negara sehingga menjadi lumpuh.

Bermula hari ini hingga lusa, kumpulan yang digelar Mogok Doktor Malaysia menyeru doktor kontrak untuk melancarkan mogok dengan mengambil cuti perubatan, cuti kecemasan, atau meletak jawatan secara beramai-ramai.

Tuntutan kumpulan itu termasuk semua doktor kontrak diberi jawatan tetap, kenaikan gaji pokok dan kadar ‘on -call’, dan penyelesaian kepada kekurangan kakitangan.