Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu resipi perpaduan

Rakyat di Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu mencari jalan yang sesuai termasuk resipe perpaduan bagi memastikan negeri mereka mendapat limpahan pembangunan yang diperlukan dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan negara.

Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari berkata, Kedah, Kelantan serta Terengganu perlu memilih resepi perpaduan yang tepat bagi membangunkan negeri terbabit.

“Kita berharap agar Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dapat terus dikuasai oleh Kerajaan Perpaduan yang dinaungi oleh PH manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu memilih resepi perpaduan yang tepat bagi membangunkan negeri terbabit,” kata beliau.

Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata demikian ketika menyertai Moreh Perpaduan di Dewan Kariah Lahar Kepar, Kepala Batas pada Sabtu baru-baru ini.

Adly tidak menceritakan resepi perpaduan yang belkau maksudkan itu, tetapi sebelum ini ada yang mencadangkan agar ketiga-tiga negeri itu mempunyai pembangkang yang kuat dalam Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan nasib rakyat dapat dibela.

Ini kerana, Kelantan dan Terengganu sekarang tidak mempunyai pembangkang yang kuat untuk membolehkan kerajaan negeri mempunyai mekanisma semak imbang (check and balance) yang baik.

Dalam majlis itu, Adly mengingatkan agar kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mempunyai majoriti pengundi Melayu supaya tidak leka sehingga membiarkan kerusi-kerusi tersebut dikuasai oleh Pas dan PN menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Pas dan PN tidak harus dibiarkan menguasai kerusi-kerusi Dun majoriti Melayu menjelang PRN yang akan datang.

“Kerajaan Perpaduan yang menguasai pemerintahan harus sama-sama menguasai kerajaan negeri dan kuasa sedia ada tidak harus dilepaskan kepada golongan ekstrimis yang boleh memudaratkan negara.

“Pelbagai inisiatif telah pun diambil oleh kerajaan melalui pelaksanaan bantuan dan dasar yang menguntungkan rakyat.

“Namun begitu pembangkang khususnya Pas masih lagi menggunakan persepsi dan sentimen perkauman dan agama bagi meraih sokongan,” ujar beliau.

BACA JUGA Sanusi MB Lato-Lato