Lapan RUU bakal dibentang bacaan kali kedua hari ini

Sidang Dewan Rakyat hari ini bakal menyaksikan pembentangan lapan rang undang-undang (RUU) bagi bacaan kali kedua.

Bermula hari ini dan esok merupakan lanjutan dua hari lagi tempoh Persidangan Dewan Rakyat sekaligus menjadikan tempoh persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 selama 31 hari.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, RUU Kewangan 2023 dan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 antara yang akan dibentang.

Turut dibentangkan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 serta RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

Disenaraikan juga RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023.

Selain itu, RUU Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 juga dijadualkan akan dibentang.

BACA JUGA Tahap hujah pembangkang di Dewan Rakyat mengecewakan – Penganalisis