Malaysia sedia berunding isu pertikaian Laut China Selatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sedia berunding dengan China mengenai tuntutan di laluan maritim, Laut China Selatan.

Menurutnya, penyelesaian isu berkaitan wilayah perairan itu penting memandangkan terdapat pelantar cari gali terbesar yang beroperasi dimiliki syarikat minyak dan gas negara, Petronas.

Perdana Menteri berkata, beliau membangkitkan isu terbabit dalam pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping sempena lawatan rasminya ke republik itu minggu lalu.

“Malah, dalam beberapa isu lain agak sensitif seperti Laut China Selatan, dengan Presiden China, saya membangkitkan kerana Petronas ada pelantar terbesar yang pernah disediakan di negara kita dan meneruskan projek cari gali di situ.

“(Hal) ini bercanggah kerana di kawasan itu ada tuntutan yang sama dari China dan saya beritahu bahawa sebagai negara kecil yang memerlukan sumber, maka minyak dan gas, kita terpaksa teruskan tetapi kalau syaratnya harus ada rundingan, maka kita sedia berunding,” jelasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Untuk rekod, ketika tujuh negara menuntut hak dan kedaulatan Laut China Selatan, ketegangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak.

Tahun lalu sahaja, China siap membina sekurang-kurangnya tiga pulau bagi tujuan ketenteraan di samudera yang merekodkan transit dengan anggaran AS$3.37 trilion atau 21 peratus daripada perdagangan global itu.

Dalam masa sama, AS pula mengumumkan akan meningkatkan kawalannya di laluan air strategik itu.

Bulan lalu, AS dan Filipina dilapor sedang berbincang untuk membuat rondaan pengawal pantai bersama di Laut China Selatan ekoran apa yang disifatkan sebagai ‘aktiviti agresif’ Beijing di perairan itu.

BACA JUGA Anwar disambut kereta rasmi di Beijing, Hsien Loong naik bas lapangan terbang