Naikkan elaun ‘on-call’ doktor kontrak – Dr Lee Boon Chye

Kerajaan dicadang menaikkan elaun tugasan atas panggilan (on-call) pegawai perubatan kontrak di negara ini selain menyerap mereka ke jawatan tetap.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk menaikkan elaun tugasan atas panggilan doktor kontrak pada kadar yang lebih tinggi.

“Sepatutnya ada pendekatan yang lebih sensitif sebab kalau ikut cara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya rasa tidak betul kerana mereka tiada pengalaman dalam sistem ‘on-call’ dalam dua kategori dalam skim perkhidmatan kumpulan pengurusan dan profesional.

“Golongan profesional atau pentadbiran sekiranya mereka ‘on-call’, mereka jarang diperlukan untuk turun ke padang tetapi apabila doktor ‘on-call’, mereka perlu ada di hospital dan bekerja secara berterusan tanpa tidur,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi hari ini.

Dr Lee Boon Chye

Jelasnya, cara kerja bagi kedua-dua kumpulan profesional tersebut adalah berbeza sama sekali jadi kadar elaun ‘on-call’ yang setimpal seharusnya diberikan kepada doktor.

Katanya, isu beban tugas yang harus dihadapi oleh doktor di negara ini harus dibela supaya kakitangan kesihatan akan berasa seronok untuk berkhidmat selain kebajikan terjaga.

Dalam pada itu, Boon Chye turut yakin dengan kewibawaan Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha untuk menambah baik kemudahan kesihatan sedia ada dari semasa ke semasa selain menyelesaikan isu doktor kontrak.

Sehingga 31 Disember 2022, seramai 4,333 pegawai perubatan kontrak telah dilantik kepada jawatan tetap dan seramai 20,330 pegawai masih dalam khidmat secara kontrak.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, gaji rendah, suasana kerja yang tidak kondusif serta masalah kontrak menjadi punca ramai doktor di sektor kerajaan meletak jawatan.

BACA JUGA Isu doktor kontrak: Kerajaan diseru tambah jawatan tetap