Pembangkang keluar Dewan Rakyat tak sampai 10 minit bersidang

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang hari ini mencetuskan kekecohan dan melambatkan persidangan Dewan Rakyat selepas sebahagian daripada mereka bertindak keluar Dewan tidak sampai 10 minit Parlimen bersidang.

Ia selepas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau tidak meluluskan usul pembangkang untuk membahaskan isu pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketika membangkitkan peraturan mesyuarat 18(1), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, beliau telah menerima jawapan balas daripada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menolak usul itu daripada dibahaskan.

Namun, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu berkeras meminta agar Dewan Rakyat mempertimbangkan untuk membahaskan usul berkenaan kerana menganggap berkait dengan kepentingan rakyat.

Wan Ahmad Fayhsal juga menganggap penjelasan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkenaan KWSP tidak memuaskan hati rakyat.

“Saya mendapat banyak pandangan dan keluhan daripada rakyat bahawa penjelasan daripada kedua-dua Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Kewangan tidak memuaskan mereka.

“Jadi, izinkanlah untuk kami bahaskan perkara ini hari ini. Berbaki dua hari lagi sebelum kita tamat sesi sidang Parlimen.

“Bolehlah sekiranya usul ini dapat dipertimbangkan agar ianya dapat membawa kepentingan orang ramai yang begitu memerlukan pengeluaran KWSP bersasar,” katanya.

Alice kemudian memaklumkan bahawa mengikut peraturan mesyuarat 43, keputusan yang telah dibuat oleh Yang Dipertua adalah muktamad.

“Kalau tak puas hati sila buat usul lagi,” tegas Alice.

Susulan itu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangkit mencelah meminta agar usul dibawa Machang dibahaskan kerana katanya, ia berkait dengan rakyat.

“Yang Dipertua sering kali menyebut kalau tak puas hati, sila buat usul. (Tapi) bila usul kita nak bincang? Esok dah habis sidang,” katanya.

Alice bagaimanapun tidak membenarkan usul tersebut dibahas dan sekali lagi menegaskan bahawa ianya keputusan muktamad Speaker Dewan Rakyat.

“Yang Berhormat Arau, ini keputusan Speaker. Kalau tak puas hati, saya sudah kata boleh jumpa dengan Speaker nanti atau buat usul lagi. Saya tak dapat buat ruling,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat bertambah panas apabila Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) kemudiannya mendesak agar pengeluaran KWSP dibincangkan.

Kata Ketua Pembangkang itu, pengeluaran duit simpanan persaraan itu adalah masalah yang benar-benar terdesak dan ia memerlukan keputusan segera daripada kerajaan.

Namun buat kali ketiga, Alice menegaskan bahawa beliau tidak dapat membuat apa-apa ruling kerana keputusan muktamad di tangan Speaker.

“Saya sudah kata, saya tahu. Tapi ini keputusan Speaker. Macam mana saya nak buat ruling lagi. Pergi jumpa dengan Speaker,” tegur Alice.

Larut yang tidak berpuas hati, kemudian mengugut akan keluar Dewan sebagai tanda protes sekiranya usul dibawa pembangkang tidak dibenar dibahas.

“Puan Yang Dipertua, kalau perkara ini tidak mahu dibahaskan, kita boleh keluar untuk menunjukkan kita protes,” katanya.

Alice segera membalas, “Silakan. Kalau nak keluar sila keluar. Jangan tekan mic lagi. Kita mahu teruskan persidangan pagi ini.”

BACA JUGA Lapan RUU bakal dibentang bacaan kali kedua hari ini