Perluas stesen minyak tidak bersubsidi di kawasan sempadan, elak ketirisan – TPM

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) bersetuju memperluaskan stesen minyak tanpa subsidi secara berfasa di kawasan sempadan negara bagi menangani ketirisan diesel bersubsidi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lokasi stesen minyak tanpa subsidi itu dicadangkan di Rantau Panjang dan Bukit Bunga (Jeli) di Kelantan serta Tebedu, Ba’Kalan dan Lundu (Sarawak).

Lokasi lain yang dicadangkan ialah Pengkalan Hulu, Perak; Tambak Johor dan Second Link, Johor; Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Penyelewengan minyak diesel bersubsidi menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan mengakibatkan bekalan diesel tidak sampai kepada yang layak,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat NACCOL di bangunan Parlimen hari ini.

Stesen minyak tidak bersubsidi telah dibuka di Wang Kelian dan Padang Besar, Perlis untuk mengelak rakyat asing membeli bahan bakar bersubsidi.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan Ops Tiris selama enam bulan bermula 1 Mac hingga 31 Ogos tahun ini bagi membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Beliau berkata setakat 31 Mac lalu, sebanyak 3,424 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan sebanyak 92 kes dengan 88 tangkapan dan rampasan bernilai RM3.02 juta membabitkan 41 kes serahan menerusi operasi itu.

Beliau juga berkata inisiatif Rahmah yang bermula dengan Menu Rahmah dikembangkan kepada barangan seperti tekstil serta perkhidmatan seperti insurans.

KPDN memperkenal Program Payung Rahmah bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan) dan golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan bantuan makanan serta barangan keperluan asas.

Ahmad Zahid berkata setakat 1 April lepas, sebanyak 1,706 pengusaha restoran dan kedai makan di seluruh negara melaksanakan program Menu Rahmah manakala Bazar Ramadan Rahmah di 38 lokasi menawarkan menu berbuka puasa pada harga Menu Rahmah.

Beliau berkata mesyuarat itu turut bersetuju Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan meneliti cadangan menaik taraf Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai Agensi Sekuriti Makanan.

BACA JUGA: Tahniah YB Salahuddin, kini kenderaan asing tidak ‘bermaharajalela’ di Perlis