PM Anwar raikan 1,000 tetamu berbuka puasa di Seri Perdana

Kira-kira 1,000 orang tetamu diraikan dalam majlis berbuka puasa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama menteri Kabinet, Ahli Parlimen dan Dewan Negara di kediaman Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Turut serta isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri besar, ketua menteri, perwakilan asing dan pegawai tinggi kerajaan.

Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Perdana Menteri dalam ucapannya berterima kasih kepada semua yang hadir ke majlis itu hari ini meskipun menerima jemputan dalam tempoh yang singkat.

“Mudah-mudahan Ramadan mengangkat darjat ketakwaan kepada Allah SWT. Manfaatkan majlis ini untuk mengeratkan silaturahim sesama kita,” katanya.

Anwar bersalaman dengan pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia selepas berbuka puasa di Komplek Seri Perdana, Putrajaya. Foto Twitter Bernama

Turut hadir memeriahkan majlis ialah rombongan pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia.

Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan mereka sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah.

BACA JUGA: PM Anwar solat Jumaat di masjid tertua di Beijing