RUU mansuh hukuman mati mandatori diluluskan Dewan Rakyat

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 melalui undian suara dengan majoriti Ahli Parlimen menyokong.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh ketika membentangkan bacaan kali kedua dan ketiga mencadangkan hakim diberikan kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Rang undang-undang itu juga mencadang membenarkan hakim mengenakan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun menggantikan hukuman mati mandatori.

Seramai 10 orang Ahli Parlimen tampil membahaskan rang undang-undang tersebut sebelum ia diluluskan.

Ram Karpal berkata pemenjaraan bagi suatu tempoh dengan sebatan dilihat sebagai hukuman gantian paling sesuai bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.

Beliau berkata hukuman gantian perlu setimpal dengan keseriusan jenayah yang dilakukan dan tidak mengakibatkan kejanggalan dengan hukuman lain yang kurang serius.

“Kombinasi hukuman pemenjaraan dan sebatan adalah wajar supaya dilihat sebagai hukuman yang lebih berat berbanding hukuman untuk jenayah-jenayah lain,” katanya.

Ramkarpal berkata terdapat banyak peruntukan sedia ada yang dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan jenayah semasa.

“Dalam hal ini, keputusan kerajaan berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha kerajaan mewujudkan sistem perundangan yang dinamik, progresif dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Ia melibatkan Seksyen 121A iaitu kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri, Seksyen 130C (melakukan perbuatan pengganas), Seksyen 130I (mengarahkan aktiviti kumpulan pengganas) dan Seksyen 302 (kesalahan membunuh) di bawah Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau berkata penggubalan RUU tersebut turut merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah.

Selain itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok.

BACA JUGA: Pindaan mansuh hukuman mati mandatori dibentang di Dewan Rakyat