Sanusi diarah bayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berhubung kenyataan fitnah yang dibuat Sanusi empat tahun lepas.

Keputusan itu dibuat mahkamah selepas membenarkan permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah ganti rugi dari daripada RM50,000 kepada RM120,000 terhadap Sanusi.

Peguam mewakili Mahfuz, Noorazmir Zakaria berkata, rayuan Sanusi sebagai defendan untuk menolak rayuan plaintif pula ditolak oleh mahkamah.

Sesi persidangan Mahkamah Rayuan sebentar tadi berjalan secara atas talian melalui aplikasi Zoom.

“Rayuan MB Kedah terhadap saman fitnah Mafuz ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

“Rayuan anak guam untuk menaikkan jumlah ganti rugi pula dibenarkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

“Saya secara peribadi dalam kendali kes saman fitnah, inilah jumlah ganti rugi yang paling tinggi dapat. Susah nak lepas nilai ratus ribu sekarang ni,” kata Noorazmir.

Pada 30 Julai 2019, Sanusi menerusi akaun Facebook miliknya mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena terlibat dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman berdasarkan hantaran yang dibuat itu.

Mahfuz mendakwa Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebook miliknya pada 27 Julai 2019, yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Pada November 2021, Mahfuz menang saman fitnah yang difailkan terhadap Sanusi, dengan Mahkamah Tinggi mengarahkan Sanusi membayar RM50,000 kepada Mahfuz.