Tanah Rizab Melayu di Kedah berkurang lebih 5,000 hektar hanya dalam setahun

Terdapat penurunan luas Tanah Rizab Melayu di Kedah pada tahun lalu berbanding 2021, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, pada tahun 2022 jumlah Tanah Rizab Melayu di Kedah adalah 716,514.28 hektar.

Bagaimanapun, katanya, keluasan tanah itu berkurangan sebanyak 5,351.65 hektar berbanding 721,888.93 hektar pada tahun 2021.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook susulan dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya naratif yang dibina di Parlimen seolah-olah negeri itu telah kehilangan Tanah Rizab Melayu hingga tiada baki lagi.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, jawapannya di Dewan Rakyat minggu lalu mengenai tanah itu merujuk kepada data yang diberikan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

Dalam sidang Parlimen pada 29 Mac lalu, Nik Nazmi memaklumkan keluasan kawasan pewartaan tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar pada 2021 kepada 716,537.28 pada tahun lalu.

Selain Kedah, dua lagi negeri yang turut mencatatkan penurunan jumlah keluasan tanah rizab Melayu adalah Perak dan Kuala Lumpur.

Susulan itu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, demi kepentingan politik, soalan dan jawapan itu sengaja ‘disetkan’ supaya untuk menunjukkan Kedah telah mengenepikan kepentingan Tanah Rizab Melayu.

Untuk rekod, Sanusi, 49, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 sejak 17 Mei 2020.

BACA JUGA Tuduh batal sewaan dewan, MAEPS digesa saman Sanusi – Mahfuz