Pengimport telur hantar surat tuntutan saman RM20 juta terhadap Azmin

Pengimport telur dari India, J&E Advance Tech Sdn Bhd mengemukakan surat tuntutan saman sebanyak RM20 juta terhadap Datuk Seri Azmin Ali berhubung kenyataan fitnah beliau terhadap syarikat itu.

Peguamnya Elyse Ng Zi Qian dari Law Chambers of Han & Zi berkata pihaknya telah menghantar dokumen tersebut secara peribadi kepada wakil rakyat Bukit Antarabangsa itu namun gagal menemuinya di pejabat atau alamat lain yang dikenali.

“Bagaimanapun, kami telah meninggalkan salinan surat itu di Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Antarabangsa dan menghantar surat tuntutan saman kepada emel rasmi pejabatnya,” kata beliau dalam kenyataan malam ini.

Melalui surat tuntutan yang dilihat Harapan Daily menyebut, Azmin didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah itu dalam Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman anjuran Perikatan Nasional (PN) di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Taman Melewar, Gombak pada 11 Mac lalu.

Jelas surat tersebut, Azmin telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap anak guamnya dan pegawainya dan kerajaan Malaysia dalam beliau mengetahui kenyataan itu.

Kenyataan tersebut melibatkan sejumlah frasa kata-kata membabitkan ahli perniagaan, Deepak dan kontrak membawa telur India ke Malaysia.

“Anak guam kami juga telah mengarahkan untuk menuntut kos kerosakan sejumlah RM20 juta kerana menjejaskan reputasinya,” kata peguam tersebut.

Surat tuntutan itu memberikan tempoh selama tujuh hari kepada Azmin untuk memberikan maklum balas.

Jika gagal berbuat demikian tindakan undang-undang diambil terhadap beliau.

BACA JUGA: Tuduhan Azmin usaha bela Mahiaddin melalui pintu belakang