12 RUU diluluskan, pelbagai pembaharuan sepanjang 31 hari sidang Parlimen

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat menyaksikan sebanyak 12 rang undang-undang (RUU) diluluskan sepanjang 31 hari persidangan bermula 13 Februari lalu.

Antaranya, RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023.

Turut diluluskan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 serta RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023.

Selain itu, empat usul daripada kerajaan juga diluluskan, termasuk Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan Belanjawan 2023.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata pelbagai pembaharuan juga diterapkan sepanjang mesyuarat itu yang berakhir hari ini.

Menurutnya, antara pembaharuan tersebut adalah Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dijawab oleh Perdana Menteri.

Katanya, jumlah pertanyaan bagi jawab lisan pula kerap kali melebihi daripada 10 pertanyaan lisan pada setiap kali mesyuarat.

“Ini disusuli urusan Kamar Khas yang memberi peluang kepada Yang Berhormat, seramai tujuh ahli daripada kerajaan dan enam daripada pembangkang untuk mempengerusikan secara sementara Mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16 (5), yang tidak pernah terjadi,” jelasnya.

Dalam ucapan penutupan hari terakhir mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, Johari berkata, usul berkenaan perkara tadbir kerajaan di bawah Peraturan Mesyuarat 17 di Kamar Khas kali ini boleh diucap lebih daripada dua usul, iaitu maksimum empat usul daripada dua Yang Berhormat.

“Ini membawa kepada sebanyak 83 ucapan sudah dirunding di Kamar Khas pada kali ini dalam masa 29 hari,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Ahli Parlimen menunjukkan kesungguhan dalam urusan Dewan apabila mesyuarat kerap berlanjutan hingga waktu malam malah terdapat sidang tidak ditangguhkan pada jam 1 tengah hari.

Sehubungan itu, beliau dan timbalannya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, yang memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan.

“Terima kasih juga kepada warga Parlimen, khususnya pengurusan Dewan Rakyat, wakil media massa dan semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam pengendalian majlis mesyuarat,” tambah Johari lagi.

BACA JUGA Cubaan Shahidan serang Anthony isu monopoli Puspakom tidak kesampaian