Cubaan Shahidan serang Anthony isu monopoli Puspakom tidak kesampaian

Cubaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) untuk menyerang Anthony Loke berhubung keputusan menghentikan monopoli Puspakom di saat-saat akhir perbahasan Menteri Pengangkutan itu, nampaknya tidak berhasil.

Ketika Anthony sedang menghampiri minit akhir perbahasannya, Shahidan tiba-tiba melemparkan soalan mengapa kerajaan menarik balik hak monopoli yang diberikan kepada Puspakom.

Anthony berkata, beliau tahu benar mengapa Arau bertanyakan soalan tersebut dan faham maksud yang cuba dibawa oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu.

Arau: “Ini kenapa Puspakom ditarik balik hak monopoli? Tak apalah, jawab bertulislah, bertulis”.

Anthony: “Saya boleh jawab, tak ada masalah Yang Berhormat. Saya tahu apa ‘hujah’ yang cuba dibawa oleh Yang Berhormat Arau. Puspakom ini yang pertamanya, bukan ditarik balik (monopoli).

“Operasi Puspakom ini sebenarnya akan dilanjutkan. Konsesi 15 tahun akan diberikan kepada Puspakom untuk teruskan operasi mereka untuk 15 tahun lagi.

“Tetapi bezanya ialah, konsesi yang akan diberikan ini tiada lagi hak eksklusif yang sudah diberikan selama 30 tahun,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Seremban itu menambah, terlalu banyak rintihan dari pemandu-pemandu teksi yang tiada pilihan selain terpaksa melalui proses Puspakom, terutamanya di Sabah dan Sarawak kerana cawangannya tidak mencukupi.

Bahkan katanya, banyak rungutan diterima bahawa mereka terpaksa menunggu lama di Puspakom.

Atas sebab itu, jelasnya, kerajaan bersetuju membuka pasaran itu kepada pemain industri lain untuk mewujudkan persaingan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih efektif.

Anthony juga pada masa sama mengalu-alukan sekiranya Shahidan mahu turut serta menghantar permohonan bersaing dengan Puspakom.

“Saya tahu Arau pernah memiliki syarikat Bernas dulu. Jadi, sekarang kita membuka peluang kalau Arau minat untuk katakan terlibat dalam perindustrian pemeriksaan kenderaan ini, kita tak ada masalah. Boleh bagi kertas cadangan kita akan lihat.

“Tetapi sudah tentu kita akan berlaku adil kepada Puspakom. Apa sahaja syarat dikenakan kepada Puspakom akan juga dikenakan kepada mana-mana syarikat lain yang diberikan lesen untuk memeriksa kenderaan ini,” katanya lagi.

Sebelum itu, Shahidan dalam perbahasannya, meminta agar Kementerian Pengangkutan memperuntukkan sekurang-kurangnya 1,000 hingga 2,000 lesen tambahan teksi untuk golongan muda.

Menjawab hal itu, Anthony berkata kerajaan tiada masalah untuk memberikan kuota lesen tambahan yang dimahukan Arau, namun memberitahu bahawa beliau tidak pasti adakah anak muda meminati pekerjaan sebagai pemandu teksi kerana mereka lebih cenderung kepada pekerjaan e-hailing.

Namun begitu katanya, beliau mengalu-alukan untuk Shahidan memberikan 1,000 nama anak muda yang didakwanya itu untuk menjadi pemandu teksi.

“Sebenarnya, isu teksi kepada orang muda, nak kuota 1,000 pun tak ada masalah. Kalau ada permohonan, hari ini kita luluskan tetapi persoalannya dari segi industri teksi ini saya tak tahulah sama ada anak muda berminat atau tidak untuk melibatkan diri dalam industri teksi.

“Sebab anak-anak muda sekarang ini lebih cenderung kepada industri e-hailing. Jadi, kalau Arau ada senarai 1,000 atau 10,000 anak muda, bawalah senarai nama kepada kita, tiada masalah,” kata Anthony lagi.

BACA JUGA Amirudin bidas Shahidan, PN pun tidak beri bonus sampai RM1,000

Â