Data analisis anak bulan Syawal berada pada posisi sukar dilihat – JUPEM

Data analisis anak bulan (hilal) Syawal pada tahun ini menggambarkan hilal berada pada posisi sukar dilihat kerana jauh di bawah syarat minimum.

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) berkata analisis data hilal Syawal tahun ini menunjukkan bahawa tingginya adalah 2° 18’ berada di bawah kriteria minimum (3°) manakala jarak lengkung hanyalah 2° 41’ sahaja berada jauh di bawah kriteria minimum (6° 24’).

“Data ini menggambarkan hilal berada pada posisi sukar dilihat kerana jauh di bawah syarat minimum. Walau bagaimanapun sebagai umat Islam yang beriman adalah wajib mengimani bahawa segala ketentuan adalah di atas kehendak Allah SWT,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Data hilal yang dihisab (hitung) sentiasa dirujuk semasa menentukan tarikh baharu dalam sesuatu bulan hijri.

Data hilal pada setiap tarikh 29 haribulan hijri dianalisis untuk mengetahui samada ia memenuhi syarat kriteria Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan) atau sebaliknya yang menentukan jumlah hari dalam bulan tersebut hanya 29 hari atau 30 hari.

Bagi penentuan tarikh baharu tiga bulan utama yang melibatkan ibadah besar iaitu bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah akan ditentukan melalui kedua-dua kaedah hitungan (hisab) dan cerapan hilal (rukyah).

Kriteria Imkanur-Rukyah merupakan satu kriteria yang digunakan sebagai asas yang menggambarkan ciri hilal yang dianggap boleh dilihat dengan mata kasar atau bantuan alat optik.

Kriteria yang digunakan adalah melibatkan dua elemen iaitu tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal dengan matahari semasa waktu maghrib (matahari terbenam).

Menjadi ketetapan di negara ini bahawa cerapan hilal rasmi dijalankan pada 29 hari bulan hijri bagi tiga bulan utama dan sekiranya hilal kelihatan maka keesokannya ditetapkan sebagai 1 hari bulan bulan baharu sebaliknya jika tidak kelihatan maka keesokan harinya adalah dilanjutkan kepada 30 haribulan.

“Kebelakangan ini terdapat maklumat telah tersebar di media sosial berkenaan tarikh hari raya tahun 2023 adalah lebih awal berbanding kalender sehingga masyarakat tertanya-tanya serta menimbulkan kegusaran sesetengah pihak,” jelas JUPEM.

Justeru itu, kata kenyataan itu orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dalam membuat kenyataan sehingga boleh menimbulkan kerunsingan dalam masyarakat.

“Sebaiknya adalah menyerahkan penetapan tarikh baharu bagi sesuatu bulan hijri terutama melibatkan ibadah puasa, perayaan hari raya dan hari raya korban kepada pihak berwajib setelah keputusan cerapan hilal diseluruh negara diperolehi dan pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya.

Dalam pada itu, JUPEM menjelaskan data analisis itu berbeza dengan tahun lepas apabila tinggi hilal 5° 27’ adalah berada jauh melebihi syarat minimum (3°) manakala jarak lengkung hilal ke matahari adalah 5° 57’ yang hampir memenuhi syarat minimum (6° 24’).

“Hasil cerapan mendapati bahawa hilal Syawal 2022 telah berjaya dilihat dan penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 adalah lebih awal sehari berbanding tarikh yang telah ditetapkan di dalam kalender,” jelasnya.

Sementara itu, Rektor Akademik Falak Malaysia, Shahrin Ahmad membidas hantaran pengendali sebuah media sosial yang membuat kesimpulan anak bulan Syawal bakal kelihatan pada 20 April sekali tarikh Aidilfitri jatuh keesokannya (21 April) kerana berlaku gerhana matahari pada hari cerapan hilal itu.

“Bila dunia resepi pun nak ulas bab ilmu falak, ni tanda-tanda aku kena pencen je la lepas ni, jadi tukang masak je… haishhhh…

“Gerhana matahari 20 April akan berlaku waktu tengahari la abam chef oiii.. bukannya waktu subuh,” jelasnya.

Shahrin menjelaskan anak bulan tidak ada kaitan dengan kemunculan gerhana matahari sebaliknya bergantung kepada cukupnya syarat apabila Maghrib 29 hijri petang cerapan di lokasi masing-masing.

Terdahulu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan kenyataan yang dibuat oleh pihak tertentu mengenai penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1444H/2023M yang mendakwa dikeluarkan oleh agensi itu.

Jabatan itu dalam kenyataan berkata semua pihak dinasihatkan supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini yang dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja.

Terdahulu tular poster berkaitan tarikh-tarikh penting kalender Islam yang mencatatkan 21 April merupakan 1 Syawal.

Sebelum ini Jakim turut memaklumkan mengenai penularan satu tangkap layar yang memaparkan “Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023” yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid.

Paparan tersebut telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Jakim berkata pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi rasmi setelah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja.

Cerapan hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023.

Sekiranya anak bulan tidak kelihatan pada hari tersebut, maka puasa akan digenapkan hingga 30 Ramadan sekali gus 1 Syawal pada keesokan harinya.

BACA JUGA: Jakim tidak umum tarikh Aidilfitri