Deepak lapor polis, dakwa Azmin fitnah beliau dan kerajaan Malaysia

Ahli Perniagaan Deepak Jaikishan membuat laporan polis semalam terhadap bekas Timbalan Presiden PKR yang belot, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ekoran dakwaannya terhadap beliau.

Dalam laporan polis itu, Deepak mendakwa, ucapan yang dibuat bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Markas Tarbiyah Pas di Taman Melewar pada awal Mac lalu mengandungi perkataan-perkataan fitnah, libel dan pembohongan terhadap Kerajaan Malaysia dan beliau berkaitan dengan pengimportan telur dari India.

“Walaupun saya telah mengeluarkan kenyataan media dan memberikan penjelasan terhadap isu tersebut bersama dengan dokumen sokongan, Azmin Ali masih enggan menarik balik alegasi beliau terhadap Kerajaan Malaysia dan saya sehingga kini,” kata Deepak dalam laporan polis itu.

Bagi beliau, ucapan dan dakwaan Azmin dalam ucapan tersebut adalah ‘dirancang terlebih dahulu’  oleh Azmin Ali “untuk menghasut kebencian umum dan niat buruk terhadap Kerajaan Malaysia dan saya demi mencapai kepentingan dan tujuan politik sahaja.”

Bagi beliau, isu-isu yang didakwa oleh Azmin itu adalah serius terhadap reputasi Kerajaan Malaysia dan beliau di dalam dan di luar negara.

“Oleh yang demikian, saya membuat laporan polis ini supaya pihak PDRM membuat siasatan terhadap Azmin Ali di bawah Sesyen 499 Kanun Keseksaan dan Criminal Defamation (jenayah fitnah)  untuk membersihkan nama (vindicate) Kerajaan Malaysia dan saya secepat mungkin,” katanya dalam laporan polis itu.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Haji Mohamad Sabu memaklumkan langkah mengimport telur dari India dibuat bagi menyelesaikan masalah bekalan telur di negara ini.

Hasilnya, masalah bekalan telur yang dihadapi oleh negara sejak bertahun telah berjaya diselesaikan.

BACA JUGA: Pengimport telur hantar surat tuntutan saman RM20 juta terhadap Azmin