Di sebalik pembangunan masih ada sekolah dan klinik daif

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sedang menangani masalah sekolah daif. Begitu juga Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pula sedang menangani masalah klinik daif. Walaupun buat masa ini cabaran mendesak bagi Menteri Kesihatan adalah ancaman mogok doktor-doktor kontrak.

Kebanyakan orang, termasuk saya sendiri tidak tahu atau terfikir akan adanya sekolah daif dan klinik daif. Saya pun fikir kebanyakan wakil rakyat juga tidak menyedari akan adanya sekolah dan klinik daif itu. Kecuali jika mereka juga menyaksikan sendiri kewujudan sekolah dan klinik itu di kawasan masing-masing.

Tetapi apakah yang mereka lakukan? Atau kalau mereka hendak melakukan sesuatu, tentulah ia amat sukar. Pastinya ia melibatkan tiga kementerian. Selain kementerian pendidikan atau kementerian kesihatan, tentunya ia turut melibatkan kementerian kerja raya dan kementerian kewangan.

Kementerian Kewangan yang akan mengeluarkan dana dan Kementerian Kerja Raya yang akan memperbaiki bangunan-bangunan daif itu. Tentunya ia memakan masa lama, silap-silap hanya boleh disiapkan apabila habis tempoh penggal kerajaan ini. Banyak betul perkara yang perlu dibetulkan.

Dari pemerhatian, saya tidak pernah ternampak sekolah daif dan klinik daif, baik di Selangor mahupun Johor. Apa yang dapat saya lihat ialah surau-surau sekolah yang besar dan cantik, hasil daripada derna orang ramai.

Namun menurut Menteri Kesihatan, klinik daif bukan hanya ada di pedalaman Sarawak dan Sabah tetapi turut ada di Semenanjung, malah di negerinya sendiri iaitu Johor. Apa yang sudah jadi?

Dari perbualan saya dengan penduduk Sabah, mereka mengeluh tentang kedaifan di negerinya, terutamanya jalan raya. Bagaimanakah seseorang hendak pergi ke klinik atau sekolah, sama ada daif atau tidak, kerana jalan raya pun daif. Kalau hendak dikirakan, tidak ada jalan raya. Mereka hanya menumpang jalan balak.

Maknanya jalan yang dibuat oleh syarikat balak sebagai laluannya untuk mengangkut kayu balak. Tidak bolehkah syarikat balak yang mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada hutan di situ menabur wang bagi membina jalan raya yang baik untuk penduduk tempatan? Tentu tidak, itu bukan kerja mereka Bukanlah di semua tempat di Sabah tetapi di banyak tempat.

Semenanjung Malaysia sudah merdeka 66 tahun dan Sarawak serta Sabah merdeka 60 tahun. Maka kalau ikut standard kemajuan negara ini, tidak wajar ada klinik dan sekolah daif. Maknanya selama ini pembangunan tidak setara tetapi banyak orang tidak sedar tentang perkara ini.

Kalau tidak Menteri Pendidikan dan Menteri Kesihatan mendedahkan tentang sekolah dan klinik daif, maka kebanyakan orang tidak akan tahu.

Media massa juga selama ini tidak melihat kepentingan berita nengenai adanya klinik dan sekolah daif ini. Mengapakah selama ini wakil rakyat tidak ambil peduli tentang perjara ini? Mengapakah pegawai-pegawai pendidikan dan kesihatan daerah dan negeri tidak melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah klinik dan sekolah daif?

Mungkin mereka tidak boleh buat apa-apa dan seringkali jawapannya adalah tiada peruntukan. Kalau telah dibawa ke mesyuarat bertahun-tahun sehingga bergantian pegawai yang bertanggung jawab tetapi tiada hasil, apalah yang boleh dilakukannya.

Kemudian persoalannya mengapakah pengguna klinik berkenaan tidak mendesak pihak berkuasa untuk memperbaiki klinik-klinik daif itu? Dapat dilihat bahawa saban tahun banyak bandar memperoleh bangunan hospital yang baharu dan cantik.

Begitu juga di Kuala Lumpur dan Selangor umpamanya memperoleh klinik-klinik kesihatan yang baharu dan cantik. Tidakkah boleh selama ini diusahakan supaya negara ini bebas daripada klinik daif?

Menurut laporan, Menteri Kesihatan telah pun mengatur mesyuarat dengan pihak Kementerian Kewangan berhubung untuk memulihkan klinik-klinik daif. Tentu perkara ini memakan masa yang panjang. Lebih-lebih lagi keadaan kewangan negara yang ketat.

Peruntukan belanjawan untuk Kementerian Kesihatan juga tentunya terhad. Dengan peningkatan perbelanjaan perkhidmatan kesihatan awam yang terus meningkat.

Malah Menteri Kesihatan yang lalu telah pun menyatakan pembiayaan untuk perkhidmatan kesihatan adalah tidak tertanggung. Mana-mana menteri kesihatan pada hari ini dan akan datang lambat laun pasti menghadapi cabaran untuk mendapatkan penyelesaian.

Pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh pihak Kementerian Kesihatan, tetapi akhir sekali menteri dan juga kabinet serta perdana menteri mesti berani menggunakan political will atau azam politik mereka untuk membuat keputusan. Perkara ini tidak boleh bertangguh-tangguh.

Suatu perangai buruk di Malaysia, bukan saja dalam pentadbiran kerajaan atau politik tetapi juga pengurusan perniagaan atau organisasi umum lain ialah amalan suka bertangguh-tangguh, terutama dari segi mengadakan mesyuarat dan mesyuarat yang meleret-leret.

Sikap suka bertangguh ini berlaku kerana banyak ketua yang mahu mengelak daripada nembuat keputusan yang sukar. Mereka takut tersalah membuat keputusan dan bimbang dikecam jerana membuat keputusan itu. Jadi apabila suatu kerja ditangguhkan, akhirnya ia menjadi tanggungan pemimpin yang akan datang, dan begitulah selanjutnya.

Keadaan ini merosakkan negara dan menyusahkan rakyat. Sudahlah sistem jentera kerajaan yang adakalanya melambatkan lagi penyelesaian kepada masalah ini. Sebab itu pentadbiran negara perlu reformadi. Tanpa reformasi, masyarakat madani tidak akan dapat tercapai.

Tetapi adakah penyandang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan faham keadaan ini? Atau banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk menangkis serangan pembangkang, yang hakikatnya tidak mengandungi isi-isi yang membina.

Masalah doktor kontrak timbul pastinya kerana penyelesaiannya ditangguh-tangguh. Dari zaman Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad, Najib Razak, kembali kepada Mahathir, Mahiaddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan sekarang Anwar Ibrahim, masalah ini sudah dapat dijangka. Sistem perkhidmatan awam dan pencen juga akan akhirnya tidak sustainable atau tidak mapan.

Pada masa ini pula, kerajaan perlu menanggung beban kewangan yang banyak akibat perkara-perkara lalu, termasuk ketirisan, korupsi dan silap pentadbiran. Kumpul punya kumpul, tanpa penyelesaian segera, maka akhirnya ia menjadi beban besar.

Sebab itu negara perlukan suasana politik yang stabil. Hanya kerajaan yang stabil dapat memberi tumpuan bagi penyelesaian masalah. Jika politik tidak stabil, penyelesaian akan terus tertangguh dan masalah menjadi bertambah rumit. Sebab itu seboleh mungkin rakyat perlu memberi sokongan kepada Kerahaan Perpaduan.

Tetapi itu tidak bermakna mana-mana pihak tidak boleh kritik dan menegur kerajaan. Tentulah berbeza, mengkritik kerajaan sebagai penyokong berbanding dengan mengecam kerajaan dengan tujuan untik menjatuhkannya.

Pembangkang mempunyai peranan istimewa dalam sistem demokrasi. Mereka juga mewakili sebahagian daripada suara rakyat. Tetapi peranan pembangkang adalah mengkritik secara membina, bukan dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan pada waktu sebelum tamat tempoh.

Kembali kepada klinik daif. tentunya perkara ini disedari sejak dulu lagi. Kerajaan dahulu sanggup membuat program Klinik 1Malaysia tetapi tidak memerhatikan klinik daif ini. Sementara pemimpin terdahulu pula mempunyai projek-projek mega, tanpa memperhatikan masalah klinik daif ini.

Begitu juga dengan sekolah-sekolah daif. Di manakah peranan PIBG, pegawai pendidikan daerah dan negeri, dan wakil-wakil rakyat? Hinggakan perkara ini petlu perhatian Menteri Pendidikan yang telah berusaha menghubungi Kementerian Kerja Raya untuk menyelesaikan masalah ini.

BACA JUGA: Pecahkan monopoli untuk persaingan sihat