Elaun ‘on call’ diperluas kepada doktor enam klinik rintis atasi kesesakan – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju supaya elaun tambahan lepas waktu bekerja atau ‘on call’ diperluas kepada pegawai perubatan di enam klinik kesihatan yang terlibat dalam projek rintis bagi menangani kesesakan di hospital.

Perdana Menteri berkata peluasan bagi elaun berkenaan turut dipanjangkan merangkumi hari kelepasan mingguan.

“Saya ingin umumkan bahawa kerajaan bersetuju bahawa elaun bertugas pegawai perubatan selepas waktu pejabat (on call) diberikan kepada pegawai yang ‘on-call’ di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital.

“…dan waktu perluasan dipanjangkan merangkumi hari pelepasan mingguan kepada enam klinik kesihatan yang terlibat dalam projek rintis mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF) untuk mengkaji kemudahan ini supaya ia dipanjangkan kepada semua selain pegawai perubatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menaikkan jumlah elaun ‘on call’ kepada doktor.

Perdana Menteri berkata walaupun kadar semasa elaun ‘on call’ adalah bersesuaian, ia perlu ditambah kerana ketika ini, elaun itu tidak merangkumi kepada pegawai perubatan yang bertugas di klinik kesihatan atau jabatan kecemasan hospital.

“Kadar semasa elaun tugas ‘on call’ sama ada berkhidmat secara tetap atau kontrak yang diarah menjalankan tugas panggilan selepas waktu bekerja biasa di hospital kerajaan, hospital universiti, hospital Angkatan Tentera Malaysia atau hospital klinik desa, masih bersesuaian dengan penetapan kadar mengikut hari tugas jam.

“Ia masih bersesuaian berbanding dengan kadar elaun-elaun lain yang diterima oleh perkhidmatan lain,” kata Anwar.

BACA JUGA: Panjangkan operasi klinik kesihatan: KKM ambil kira isu ‘burnout’ petugas