Jakim tidak umum tarikh Aidilfitri

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mengumumkan tarikh rasmi berkaitan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

“Jakim menafikan kenyataan yang dibuat pihak tertentu mengenai penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1444H / 2023M yang mendakwa dikeluarkan oleh jabatan ini,” maklum kenyataan itu hari ini.

Jakim menerusi kenyataan tersebut meminta semua pihak agar menghormati proses penentuan rasmi tarikh Aidilfitri di negara ini, yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja.

Terdahulu, tular di media sosial berkaitan tarikh-tarikh penting Islam pada tahun ini, antaranya 1 Syawal akan jatuh pada 21 April nanti.

Berikutan tarikh tular itu, seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama Najihah Aqmal Nawawi bagaimanapun menyifatkan pengumuman rasmi akan menjadi penentu kepada kesahihan berita tular itu.

“Dengar kata dalam aplikasi pakat update dah tarikh raya. Dok jadi la raya mengejut pulok tahun ni.

“Tukang jahit okey dok tu? Apa-apa pun, tetap kena tunggu pengumuman rasmi deh. Cuma boleh bersedia awal,” tulis wanita itu.

Sambutan Aidilfitri mengejut berlaku tahun lalu apabila tarikh sambutan diumumkan sehari lebih awal.