Mansuh hukuman mati mandatori beri ruang hakim pilih hukuman
Pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberikan ruang kepada hakim untuk menentukan hukuman lebih setimpal kepada pesalah, kata Dobby Chew sekali gus menyambut baik langkah itu.
Koordinator Eksekutif The Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) itu berkata, dengan pemansuhan hukuman tersebut, hakim dilihat mempunyai pilihan dalam membuat keputusan.
Beliau mengambil contoh satu kes di Terengganu beberapa tahun lalu apabila seorang pesakit skizofrenia, membunuh individu ketika tidak waras, tetapi dijatuhi hukuman mati.
“Jadi, dengan pemansuhan hukuman mati mandatori itu, hakim mempunyai ruang untuk memberi pertimbangan terhadap kes-kes sedemikian.
“Walaupun orang itu mungkin didapati bersalah (membunuh) di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dia tidak wajar mati atau pun dijatuhi hukuman mati. Pendapat saya, dia boleh dijatuhi hukuman penjara.
“Bagi kami, itulah intipati penting yang ingin disampaikan iaitu hukuman mati tidak wajar dikenakan terhadap kes seperti saya sebutkan itu, sekali gus hakim mempunyai pilihan atau budi bicara di akhir perbicaraan,” katanya kepada Harapan Daily hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas lanjut, Dobby menyifatkan pemansuhan hukuman mati mandatori itu bukan isu baharu dan sudah dipertimbangkan oleh pihak kerajaan sejak 2013 lagi, namun beliau memuji langkah berkenaan sebagai sesuatu yang sangat baik.
Semalam, RUU pemansuhan hukuman mati itu diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat melalui undian suara dengan sembilan ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan RUU itu.
Mereka terdiri daripada lima ahli Parlimen blok pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena),dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau).
Manakala empat lagi dari blok kerajaan iaitu Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh), M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat), Chiew Choon Man (PH-Miri), dan RSN Rayer (PH-Jelutong).
RUU tersebut dibentangkan bagi bacaan kedua dan ketiga dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, mencadangkan hakim diberikan kuasa budi bicara dalam menjatuhi hukuman.
RUU itu juga mencadang membenarkan hakim pilihan mengenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun menggantikan hukuman mati mandatori.
Ramkarpal berkata, RUU itu adalah suatu akta ‘omnibus’ kerana merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah.
Ia adalah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.
“Bagaimanapun, hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori perlu setimpal dengan keseriusan jenayah yang telah dilakukan oleh pesalah dan tidak mengakibatkan ketidaksesuaian dengan hukuman lain yang kurang serius,” ujarnya.
Sehubungan itu, jelas Ramkarpal, hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh berserta dengan sebatan dilihat sebagai hukuman gantian yang paling bersesuaian terhadap 11 kesalahan yang membawa kepada hukuman mati mandatori ini.
“Kombinasi hukuman pemenjaraan dan sebatan adalah wajar supaya dilihat sebagai hukuman yang lebih berat berbanding hukuman untuk jenayah lain,” katanya lagi.
BACA JUGA 12 RUU diluluskan, pelbagai pembaharuan sepanjang 31 hari sidang Parlimen