Masalah doktor kontrak akan diselesaikan dalam tiga tahun

Permasalahan doktor kontrak yang berlarutan sejak sekian lama akan cuba diselesaikan dalam tempoh tiga tahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyerapan doktor kontrak perlu dibuat secara berperingkat selepas mempertimbangkan implikasi kewangan yang perlu ditanggung kerajaan jika ia diselesaikan secara sekali gus.

Sehubungan itu, katanya, seramai 4,300 daripada 20,333 doktor lantikan kontrak di seluruh negara akan diserap ke jawatan tetap tahun ini.

“Pertama saya nak sebut penghargaan dan terima kasih saya kepada doktor-doktor kontrak yang memang hadapi masalah sekian lama, namun mereka tidak meneruskan rancangan dengan beberapa pihak yang mahu mogok.

“Seperti mana yang saya sebut dalam Belanjawan 2023, peruntukan emolumen (bernilai) RM19.7 bilion (telah diberi) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), (menyaksikan) peningkatan RM3 bilion. Ini bukan jumlah kecil berbanding tahun 2022.

“Kerajaan juga peruntuk sejumlah RM3 bilion pertambahan emolumen, termasuk RM1.2 bilion (bagi) kenaikan gaji tahunan, selain peruntukan tambahan bagi keperluan pegawai kontrak bernilai RM600 juta. Pelantikan ke jawatan tetap yang diserap daripada pegawai kontrak pula bernilai RM1.1 bilion.

“Jadi untuk tahun ini kita nak selesaikan semua, kita tidak mampu. Kita jangkakan kalau ini dapat dilakukan dalam tempoh 3 tahun maknanya kita dapat menyerap 12,800 orang doktor kontrak, kerana tahun ini kita menyerap 4,300 orang doktor kontrak,” katanya dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah bahawa kerajaan sama sekali tidak berniat untuk meremehkan doktor-doktor kontrak ini kerana kerajaan amat memerlukan perkhidmatan dan pengorbanan petugas-petugas kesihatan dalam negara.

“Saya harap dapat dimengerti tidak ada sama sekali niat kita untuk meremehkan kerana doktor-doktor kontrak ini yang telah berkhidmat dengan baik, berkorban masa, waktu, tenaga dan memang negara memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) yang bertanya jumlah keseluruhan pegawai perubatan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan yang terlibat jika semua pegawai perubatan lantikan kontrak diserap masuk dan seterusnya dilantik secara tetap.

BACA JUGA: Parlimen: PM Anwar beri jaminan RUU kawal produk rokok dibentang pada Mei