Mogok doktor kontrak mungkin didalangi pihak tertentu

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan berpendapat mogok oleh doktor kontrak berkemungkinan didalangi pihak tertentu.

S Veerapan, berkata penafian pihak terbabit dalam satu kenyataan berkenaan mogok yang dijadualkan tiga hari itu tidak seperti apa yang digembar-gemburkan di media sosial.

“Saya lihat perkara itu (mogok) disebar luas dalam sosial media tetapi pihak terbabit menafikan hal tersebut.

“Berkemungkinan ada campur tangan pihak tertentu yang sengaja mewujudkan (mogok) itu,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Untuk rekod, Hartal Doktor Kontrak dianjurkan oleh pegawai perubatan bagi memperjuangkan nasib 20,330 orang lantikan kontrak untuk diserap ke jawatan tetap.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, semua fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik kesihatan (KK) di Negeri Sembilan berjalan lancar.

“Kita tidak dapat apa-apa isu laporan membabitkan aktiviti mogok oleh kumpulan doktor kontrak.

“Kesemua doktor termasuk 565 pegawai perubatan kontrak hadir untuk bertugas seperti biasa.

“Oleh itu, operasi di hospital dan klinik kesihatan kerajaan berjalan seperti biasa dan lancar serta tidak berlaku sebarang kelewatan atau gangguan terhadap pesakit,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah menyarankan Kerajaan Persekutuan dapat mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.

“Isu doktor kontrak kita perlu faham keadaan mereka yang tidak mendapat keistimewaan seperti pekerja tetap antaranya tidak mendapat pencen.

“Oleh itu, pihak kementerian kesihatan harus meneliti semula supaya ia boleh menyelesaikan isu doktor kontrak,” ujarnya.

Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa seramai 12,800 doktor kontrak akan diserap ke jawatan tetap dalam tempoh tiga tahun.

Jelasnya, pelaksanaan tersebut bermula tahun ini melibatkan 4,300 doktor kontrak dengan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion.

BACA JUGA Naikkan elaun ‘on-call’ doktor kontrak – Dr Lee Boon Chye