Parlimen: PM Anwar beri jaminan RUU kawal produk rokok dibentang pada Mei
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan nikotin untuk tujuan merokok akan dibentang dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.
Perdana Menteri menafikan kerajaan sengaja melengahkan perkara itu sebaliknya kelewatan memperkenalkan undang-undang tersebut disebabkan banyak reaksi negatif yang diterima daripada Ahli-Ahli Parlimen.
“Masalahnya ialah pelaksanaan RUU kawalan produk merokok yang diperkenalkan tahun ini mendapat banyak reaksi negatif daripada Ahli-Ahli Parlimen.
“(Kerajaan) bukan menolak, pada prinsipnya kita akan terus membentangkan RUU ini tetapi tidak boleh dilakukan kerana pada peringkat awal kita setuju disekalikan RUU ini dengan cukai vape.
“Tetapi oleh kerana banyak bantahan, maka kita telah mencadangkan supaya menteri kesihatan runding semula dengan Ahli Parlimen secara teliti dan dengan semua badan-badan kesihatan dengan maksud melaksanakan, bukan untuk melengahkan,” katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta justifikasi daripada tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952.
Pada masa sama Anwar berkata kerajaan mengambil maklum bantahan badan-badan kesihatan tentang tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952.
Namun katanya, mengambil tindakan yang agak ekstrem dengan mengharamkan vape atau nikotin rokok itu agak drastik dan tidak mampu dikendalikan oleh mana-mana negara di dunia.
Beliau menegaskan sementara kerajaan berusaha menggerakkan kempen-kempen tentang kesan negatif merokok, mereka juga akan meneruskan dengan percukaian duti eksais terhadap produk cecair mengandungi nikotin untuk tidak menjadikan bahan itu tersebar luas dan dijual dengan harga murah.
“Saya setuju bahawa badan-badan kesihatan dan profesional semuanya tanpa kecuali termasuk doktor di rumah memang menentang keras soal ini tetapi pada khidmat kerajaan, buat sementara ini kita sukar untuk mengharamkannya,” ujarnya.
“Bagaimanapun, di peringkat sekarang, Jabatan Kastam tetap akan mengawal pengedaran (produk merokok). RUU ini saya harap dapat dibentangkan dalam sesi yang akan datang pada Mei,” tambahnya lagi.
BACA JUGA: Wakil DAP tegur MP yang merokok di bangunan Parlimen