Pelaburan semakin rancak, Anwar minta persiap kemahiran sumber manusia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian dan jabatan mempersiapkan infrastruktur dan kemahiran sumber manusia untuk menerima pelaburan asing yang kian rancak ke negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) harus membantu menyelaraskan bidang yang kurang diberi perhatian, termasuk berkaitan kemahiran sumber manusia sebagai persediaan menerima pelaburan asing.

“Saya tegaskan pelaburan RM25.5 bilion oleh Amazon Web Services (AWS) serta RM170 bilion oleh China, mempunyai ‘snowball effect’ dalam pelaburan Malaysia, apabila banyak negara menunjukkan minat membuat pelaburan dalam negara.

“Pelaburan di Malaysia kian meningkat disebabkan sistem politik yang stabil dan dasar-dasar kerajaan yang jelas serta usaha awal pegawai kerajaan dalam menarik pelaburan sehingga membuahkan hasil yang begitu baik,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bulanan MOF, di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang telus dan cekap dalam mempermudahkan dan melicinkan proses serta menyakinkan pelabur yang akan bermanfaat kepada negara.

Pada 1 April lalu, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat kedua-dua negara.

Pencapaian itu diumumkan Perdana Menteri di hadapan ribuan pelabur dan ahli perniagaan pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, di Beijing.

Menurutnya, rekod pelaburan itu sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur China terhadap ekonomi Malaysia.

BACA JUGA Empat faktor kejayaan PM Anwar bawa pulang pelaburan besar dari China